suria

Sothinathan calon direstui Samy Vellu?

[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR: Apakah Datuk S. Sothinathan calon direstui presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu untuk jawatan timbalan presiden parti yang akan menerajui MIC berikutan persaraan Samy nanti pada September tahun depan?.

Ini persoalan yang sering berlegar di fikiran kebanyakan anggota parti, termasuk pemimpin-pemimpin akar umbi, yang ingin tahu pemimpin mana sebenarnya yang akan mendapat restu Samy bagi jawatan nombor dua pada pemilihan MIC.

Perkembangan terkini dalam parti politik kaum India terbesar itu menunjukkan Sothinathan, dengan panggilan kegemaran, Sothi, disukai oleh Samy, yang masih mempunyai pengaruh kuat di peringkat akar umbi MIC.

Sothinathan, misalnya, dilantik sebagai pengerusi Yayasan Strategik Sosial, sayap sosial dan badan "think tank" MIC, dan jawatan itu hanya diberikan kepada seseorang yang disukai presiden.

Beliau juga telah diminta mengemudi kempen penjenamaan semula parti, satu langkah yang dianggap genting bagi MIC meraih kembali sokongan komuniti India Malaysia, yang menolak parti itu dalam pilihan raya umum 2008.

Menurut pemimpin akan umbi, dua tanggungjawab ini ke atas Sothinathan selepas beliau kehilangan kerusi parlimen Teluk Kemang pada pilihan raya umum menunjuk petanda jelas kepada akar umbi bahawa Sothinathan adalah "orang pilihan".

Dan bekas timbalan menteri itu juga menggunakan kesempatan ini untuk memperluas asas sokongan akar umbi terhadapnya.

Bagaimanapun, hingga saat ini Samy yang berusia 72 tahun itu masih belum mengumum atau memberi petanda siapa yang akan beliau sokong sebagai timbalannya dalam pemilihan MIC.

"Saya tahu ramai dalam parti melihat Sothinathan sebagai calon presiden bagi jawatan timbalan presiden. Ramalan itu benar. Tapi saya percaya presiden tidak akan menyokong sesiapa sebelum pemilihan presiden.

"Sekiranya presiden menamakan seseorang sebagai timbalan yang digemarinya, beliau akan hanya berbuat demikian dua atau tiga minggu sebelum pengundian. Beliau tidak akan menamakan mana-mana pemimpin lagi oleh kerana saya rasa beliau masih menilai mereka," kata bekas anggota jawatankuasa kerja pusat MIC Datuk V.K.K Teagarajan, yang juga bekas ketua MIC Wilayah Persekutuan.

Teagarajan, yang telah mengumumkan hasratnya bertanding jawatan timbalan presiden parti, bagaimanapun berpendapat Samy tidak harus menamakan mana-mana calon kesukaannya bagi mana-mana jawatan sebaliknya membiarkan demokrasi berkembang dalam parti.

Sothinathan, bila dihubungi Bernama, enggan mengulas mengenai ramalan itu, tetapi berkata ada tugas yang dikhusus kepada beliau dan beliau kini menumpukan usaha terhadap kempen penjenamaan semula.

"Tidak, saya tidak mahu komen mengenainya (ramalan yang beliau adalah pilihan presiden untuk jawatan timbalan presiden). Fasa pertama kempen itu kini hampir selesai dan akan siap menjelang hujung Disember dan akan memulakan fasa kedua mulai Januari. Tetapi tahun depan, sebagai tahun pemilihan (buat MIC), perlu bekerja dan serentak itu menentukan pemilihan berjalan sempurna," kata beliau.

Nama Sothinathan, pemegang dua ijazah dalam Ekonomi dan Undang-undang, menjadi buah mulut masyarakat India Malaysia bila beliau digantung dari tugas sebagai timbalan menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar selepas beliau bertelagah dengan kerajaan berhubung keputusan menarik balik pengiktirafan ke atas Crimea State Medical University, tempat ramai pelajar India Malaysia mengikuti pengajian perubatan di sana.

Pemimpin berusia 48 tahun itu yang juga bekas setiausaha politik Samy, menjadi anggota Parlimen Teluk Kemang pada pilihan raya kecil pada Jun 2000.

Beliau dilantik sebagai setiausaha agung parti pada Sept tahun yang sama. Beliau dipilih sebagai naib presiden MIC pada pemilihan parti pada 2006.

Pada pilihan raya umum lepas beliau kehilangan kerusi Teluk Kemang, yang beliau menangi dengan majoriti undi 17,777 pada pilihan raya 2004, di tangan calon Parti Keadilan Rakyat dengan 2,804 undi.

Sothinathan telah berkhidmat di dua kementerian bermula sebagai setiausaha parlimen Kementerian Kesihatan (2000-2004) dan timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar (2004-2008).

Bagaimanapun, pengkritik mendakwa sekalipun berbekalkan segala kelayakan itu, anak kelahiran Port Dickson ini mempunyai beberapa kekurangan.

Seorang dalaman parti, yang enggan dinyatakan namanya, berkata walaupun Sothinathan punya kelebihan dari segi usia, tetapi beliau bersifat temperamental. Sothinathan dijangka tidak akan melalui jalan mudah oleh kerana beliau terpaksa berdepan dengan penyandang jawatan timbalan presiden Datuk G. Palanivel.

Mereka yang lain menyertai pertandingan ialah bekas timbalan presiden Datuk S. Subramaniam, jika beliau memilih tidak bertanding jawatan presiden, dan Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam, yang sumber parti percaya tidak akan bertanding tanpa sokongan Samy.

Dalam pada itu, orangorang dalaman parti berkata hubungan antara Samy dan Palanivel, yang "dingin" beberapa ketika kebelakangan ini, kini bertambah baik oleh kerana kedua-dua pemimpin dikatakan telah menyelesaikan selisih faham mereka dan kini lebih mesra antara satu sama lain.

Namun, sejauh mana pakatan damai ini akan kekal adalah satu hal lain. Dan permainan teka teki dalam MIC ini akan berterusan melampaui had waktu biasa. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain