suria

Serangan di Mumbai tidak jejaskan kedatangan Shah Rukh Khan ke Melaka

PULAU PINANG: Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata peristiwa serangan pengganas di Mumbai Rabu lepas tidak menjejas kedatangan pelakon popular Bollywood, Shah Rukh Khan ke Melaka pada 6 Dis ini.

"Setakat ini program berjalan seperti yang dijadualkan. Belum ada berita peristiwa yang berlaku di Mumbai akan jejaskan kedatangan beliau," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah Kejohanan Seni Mempertahankan Diri Acara Silat Seni Gayong di sini hari ini.

Shah Rukh Khan akan berada di Melaka selama satu hari untuk menerima anugerah Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk.

Istiadat penganugerahan darjah berkenaan akan disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh pada pukul 10 pagi.

Shah Rukh Khan, yang dilahirkan di New Delhi pada November 1965, adalah antara 758 penerima anugerah darjah, bintang dan pingat kebesaran negeri Melaka sempena ulang tahun ke70 hari lahir Mohd Khalil pada 11 Okt lepas.

Sehingga ini, 125 orang dilaporkan terbunuh, termasuk 14 anggota polis dan enam rakyat asing, manakala 250 orang lagi cedera dalam siri serangan pengganas di Mumbai itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain