suria

Lim: "Sila tunjuk bukti Anwar arah bina bangunan MPSP"

PULAU PINANG: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini meminta Gerakan Pulau Pinang mengemukakan bukti bahawa pembinaan ibu pejabat Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dengan kos RM84 juta di Bandar Perda diilhamkan oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Sila tunjukkan bukti bahawa Anwar mengarahkan mereka supaya membina bangunan MPSP di Perda, bukan Ampang Jajar," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam, Dr Teng berkata Anwar telah menasihati supaya bangunan ibu pejabat itu dibina di Bandar Perda berbanding cadangan asal pembinaannya iaitu di Ampang Jajar atas tanah MPSP.

Lim berkata kenyataan Dr Teng menunjukkan bekas pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalu Lintas negeri itu tidak menafikan bahawa rizab dana MPSP berjumlah RM225 juta telah hilang daripada tabung majlis berkenaan dan wang itu salur keluar menerusi cara yang tidak sesuai.

"Sekarang, beliau (Dr Teng) tidak menafikan bahawa ini adalah punca kehilangan rizab itu tetapi beliau meletakkan kesalahan kepada Anwar pula," katanya.

Mengulas mengenai kenyataan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam bahawa negeri itu akan memohon untuk "berpisah" daripada George Town sekiranya kerajaan Pulau Pinang meneruskan serta memberi keizinan bagi pembinaan hotel empat tingkat di zon warisan, Lim berkata: "Kalau anda mahu pergi, pergilah... tiada siapapun yang akan menghalang anda."

George Town dan Melaka diberikan status tapak warisan dunia oleh Unesco pada 7 Julai.

Penasihat Serantau Unesco bagi AsiaPasifik, Dr Richard Engelhardt, baru-baru ini dilaporkan berkata status Georgetown sebagai tapak warisan dunia kini terancam selepas pembinaan hotel setinggi empat tingkat diluluskan dalam zon penampan warisan di bandar raya berkenaan.

Mengikut garis panduan warisan yang ketat, ketinggian maksimum 18 meter atau kira-kira lima tingkat ditetapkan untuk bangunan baru dalam zon penampan masing-masing di George Town dan Melaka.

Anugerah Tapak Warisan Dunia kepada George Town dan Melaka adalah saling berkaitan sehinggakan sebarang tindakan di mana-mana bandar raya yang mengakibatkan status itu ditarik balik secara automatik akan menjejaskan bandar raya yang satu lagi. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain