suria

Laporan kewangan tidak lengkap, perwakilan PKR enggan sahkan

SHAH ALAM: Perwakilan Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak berpuas hati dengan pembentangan laporan kewangan pada persidangan tahunan kelima parti itu.

Perwakilan Selangor membangkitkan isu berkenaan sebelum meluluskan Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2007.

Perkara itu disebabkan laporan kewangan satu muka surat berkenaan tidak menyatakan secara lengkap aliran kewangan dan perbelanjaan yang digunakan sepanjang tahun lalu.

Bagaimanapun Bendahari Agung PKR, William Leong menyatakan bahawa tindakan itu adalah bagi melindungi maklumat sulit berkenaan kerana persidangan tahunan parti itu turut dihadiri bukan sahaja para perwakilan negeri, pemerhati malah orang awam.

"Tahun kita ambil pendekatan yang sedikit berbeza dari kebiasaannya kerana maklumat kewangan adalah sulit.

"Namun selepas ini perwakilan yang mahu mendapatkan (laporan kewangan) boleh tengok di Pusat untuk diperiksa," katanya menjelaskan mengenai perkara tersebut selepas perwakilan enggan mengesahkan laporan berkenaan.

Malah William yang juga merupakan ahli Parlimen Selayang turut bersetuju supaya laporan lengkap penyata kewangan berkenaan akan dihantar ke Bahagian masing-masing selepas berakhirnya kongres ini.

Dengan penjelasan itu, penyata laporan kewangan itu kemudiannya diterima dan disahkan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain