suria

Hishammuddin: PM tentukan pengganti Razali Ismail

[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR: Pelantikan Timbalan Menteri Pelajaran yang baru bagi menggantikan Allahyarham Datuk Razali Ismail yang meninggal dunia semalam akan ditentukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata calon bagi mengisi kekosongan jawatan timbalannya itu, perlulah sama berkaliber seperti Allahyarham kerana tanggungjawab yang dipikul di bawah kementerian berkenaan adalah besar.

"Bukan pada saya, terserah pada Perdana Menteri. Saya harap beliau akan pilih seseorang tidak lama lagi...Ini tugas besar.

"Mengenai (menjawab) soalan-soalan di Parlimen, dalam Dewan (Rakyat) yang sebelum ini dikendalikan oleh Razali, saya akan pikul tanggungjawab itu buat masa ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pendidikan Guru sempena Majlis Grand Reunion Alumni Maktab Kirkby di sini hari ini.

Razali, 59, anggota Parlimen Kuala Terengganu meninggal dunia secara mengejut di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands dekat sini kirakira 6.30 petang semalam, ketika sedang bermain badminton.

Ditanya mengenai pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, Hishammuddin yang juga Ketua Pemuda Umno berkata orang ramai khususnya pengundi di kawasan terbabit dapat memilih dengan bijak serta mengenang jasa dan pengorbanan yang dilakukan oleh Allahyarham.

"Saya yakin bahawa orang ramai di kawasan Parlimen Kuala Terengganu dapat mengenang jasa dan pengorbanannya (Razali). Kita kena cari calon yang sama kaliber dan dapat mengekalkan kerusi Kuala Terengganu kepada Barisan Nasional (BN)," katanya, yang mengetahui berita kematian timbalannya itu, kira-kira 15 minit selepas Razali disahkan meninggal dunia. BERNAMA

BERITA TERDAHULU

KUALA TERENGGANU: Jenazah Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Razali Ismail, 59, yang meninggal dunia petang semalam, selamat dikebumikan di sini kira-kira pukul 2.30 petang ini.

Yang diPertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berangkat menziarahi jenazah di kediaman Allahyarham di Lorong Kenanga, Batu Burok di sini, pada pukul 10.45 pagi tadi.

Antara kenamaan yang hadir di kediaman Allahyarham ialah Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Abdul Latif Ahmad, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Idris Haron dan Timbalan Menteri Sains dan Inovasi Datuk Fadillah Yusof serta Pesuruhjaya PAS Terengganu Datuk Mustafa Ali.

Terdahulu, dari rumahnya jenazah Allahyarham dibawa untuk disembahyangkan di Masjid Sultan Zainal Abidin selepas solat Zohor.

Banyak ahli keluarga dan kenalan beliau memberikan penghormatan terakhir serta menyaksikan upacara pengebumian itu, dalam keadaan hujan di Tanah Perkuburan Sheikh Ibrahim, Jalan Pusara. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir secara mengejut ketika bermain badminton di Institut Aminuddin Baki (IAB) di Genting Highlands kira-kira 6.30 petang semalam.

Allahyarham berada di institut tersebut kerana menghadiri Konvensyen Nasional ke-8 Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP). Allahyarham meninggalkan seorang balu, Toh Puan Nooraini Lob Yusoff serta lima anak lelaki berusia antara 15 dan 30 tahun.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham tiba di kediamannya dari Hospital Bentong, Pahang kira-kira pukul 5.30 pagi tadi.

Pada Pilihan Raya Umum ke-12 Mac lepas, Allahyarham yang mewakili Barisan Nasional (BN) memperoleh 32,562 undi menewaskan Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu (31,562 undi) dan calon Bebas, Maimun Yusof, 89, (685).

Razali sebelum ini Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). BERNAMA

BERITA TERDAHULU

KUALA LUMPUR: Kematian Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Razali Ismail adalah satu kerugian kepada Umno dan kementerian tersebut, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata Razali merupakan seorang yang berbakat dan telah melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya dengan baik.

Beliau turut menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang berpengalaman luas dan anggota Parlimen yang berkaliber.

Katanya sebagai timbalan menteri, Razali juga arif dengan dasar-dasar kementerian yang dipimpinnya itu.

"Beliau telah menunjukkan satu prestasi yang baik sebagai seorang Timbalan Menteri, mampu memahami dasar-dasar kerajaan dengan baik.

"Saya memang pun sentiasa menaruh harapan yang satu hari dia akan jadi Menteri Pelajaran. Tapi apa boleh buat, Tuhan telah mentakdirkan dia meninggal dunia," katanya kepada wartawan selepas menghadiri majlis makan malam Persatuan Perbankan Pelaburan Malaysia yang ke-29 di sini, malam tadi.

Abdullah turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Katanya beliau terkejut apabila dimaklumkan dengan berita tersebut.

"Saya terkejut apabila mendengar berita itu. Saya tidak pernah tahu bahawa beliau mempunyai apa-apa penyakit ataupun penyakit jantung," katanya.

Razali, 59, yang juga anggota Parlimen Kuala Terengganu meninggal dunia secara mengejut di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands dekat sini kira-kira 6.30 petang semalam, ketika sedang bermain badminton di institut itu.

Razali meninggalkan seorang balu dan lima orang anak.

Di BENTONG, Deris Abu Bakar, antara yang bermain badminton bersama Razali ketika insiden itu berkata, Razali tidak mengadu mengalami sebarang kesakitan.

Deris, yang merupakan Ketua Jabatan Pengurusan Eksekutif Institut Aminuddin Baki, berkata Razali kelihatan begitu bersemangat untuk bermain badminton bersama kakitangan institut itu.

"Dia begitu bersemangat hendak main. Tidak ada langsung tanda-tanda beliau sakit semasa beliau hendak bermain," katanya yang ditemui di Hospital Bentong malam ini.

Deris berkata Razali berpaut pada sebuah bangku selepas membuat pukulan smash dan kemudian terus rebah.

"Kawan-kawan yang lain datang ketika melihat Datuk (Razali) rebah. Beliau sempat mengucap sebelum meninggal," katanya.

Sebelum bermain badminton, Deris berkata beliau dimaklumkan bahawa Razali menghadiri mesyuarat di Hotel Awana & Resort, Genting Highland dan sebelum itu berada di Melaka. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain