Umno ambil tindakan pihak buat laporan palsu politik wang - Semasa | mStar

Umno ambil tindakan pihak buat laporan palsu politik wang

PUTRAJAYA: Umno akan mengambil tindakan terhadap pihak yang terbabit membuat laporan palsu berhubung penggunaan politik wang pada pemilihan parti peringkat cawangan dan bahagian baru-baru ini.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, Jawatankuasa Lembaga Disiplin akan mengadakan mesyuarat dalam jangka masa terdekat untuk memutuskan bentuk tindakan yang akan diambil terhadap pihak terlibat.

Katanya, siasatan yang dijalankan mendapati tiga suku daripada 900 hingga seribu laporan yang diterima adalah palsu, sekaligus berniat jahat untuk menjatuhkan individu yang dilaporkan.

"Tindakan akan diambil ke atas mereka yang terlibat. Selepas meneliti semua laporan itu, tiga suku daripada aduan itu adalah tidak benar. Kepada yang didapati bersalah, Badan Pencegah Rasuah (BPR) akan menentukan hukuman yang sewajarnya," katanya kepada pemberita selepas majlis program bersama rakyat 'membaik pulih Sungai Chuau dan menambah populasi kelah' di sini hari ini.

Tengku Adnan yang juga Anggota Parlimen Putrajaya menyatakan demikian ketika ditanya mengenai laporan politik wang yang diterima Umno. Menurut beliau, sebarang laporan berhubung perkara seumpama itu perlu disertakan dengan bukti yang kukuh bagi membolehkan tindakan yang sewajarnya diambil memandangkan ada laporan dibuat berikutan rasa tidak puas hati terhadap pihak tertentu.

"Banyak cakap pasal politik wang, cakap kerajaan rasuah, kalau ada bukti, laporkan. Beri kami bukti. Dia kalah bukan kerana politik wang, tapi pasal dia tak berkhidmat untuk rakyat," katanya.

Terdahulu semasa berucap merasmikan majlis tersebut, Tengku Adnan berkata projek membaik pulih Sungai Chuau akan terus dikembangkan pada tahuntahun akan datang.

Katanya, fasa pertama projek melibatkan penggunaan Sungai Chuau sejauh 53 kilometer sebagaimana yang dipohon Jabatan Pengairan dan Saliran (JPs) Putrajaya kepada Perbadanan Putrajaya.

"Sungai ini bukan sahaja berpotensi digunakan untuk pelbagai aktiviti bahkan boleh dibangunkan sebagai pusat pelaksanaan Manual Saliran Mesra Alam (MASMA), iaitu konsep yang diperkenalkan JPS untuk mengekalkan bentuk semulajadi konsep pembangunan sungai," katanya.BERNAMA

Artikel Sebelum

Timbalan Menteri Pelajaran meninggal dunia

Artikel Berikut

Wanita PKR gesa wujud kod etika wakil rakyat

Artikel Berkaitan

Artikel Lain