suria

Sabah didiami oleh dua juta pendatang, dakwa Ketua Wanita PKR Negeri

SHAH ALAM: Sabah kini didiami oleh lebih dua juta pendatang, dan mereka mungkin mengatasi bilangan warga tempatan tidak lama lagi, dakwa Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah Saukinah Yusoff.

Beliau berkata perangkaan dari 2005 mendedahkan lebih 80,000 daripada mereka memegang dokumen IMM13, 600,000 tinggal di sana di bawah "projek kad pengenalan kanakkanak", 13,307 pemastautin tetap dan lebih 230,000 adalah pekerja sah.

Dokumen IMM13 merujuk kepada pas khas dikeluarkan Jabatan Imigresen untuk menghadapi pelarian dari Filipina bagi membolehkan mereka tinggal di Sabah.

"Bilangan pendatang yang membanjiri Sabah telah meningkat begitu besar dalam beberapa tahun ini hingga kami khuatir bilangan mereka akan mengatasi kami," kata beliau ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Wanita di Kongres Kebangsaan Wanita PKR 2008 di sini hari ini.

Beliau menyalahkan pendatang kerana meningkatnya kadar jenayah dan bimbangkan masa depan ekonomi warga tempatan bila mereka terpaksa bersaing dengan pendatang untuk meraih pendapatan.

Saukinah menyeru supaya dilaksanakan dasar imigresen yang lebih ketat dan penghapusan "projek kad pengenalan kanak-kanak".

Sementara itu, kongres itu meluluskan tiga usul tanpa perbahasan yang akan dibentangkan pada Kongres Nasional Tahunan PKR esok.

Timbalan Ketua Wanita PKR Rodziah Ismail mengemukakan usul untuk menggesa satu Majlis Permuafakatan Wanita Pakatan Rakyat ditubuh supaya menjadi contoh kepada semua rakyat terutama golongan wanita.

Beliau menggesa Kerajaan negeri Selangor menjadikan negeri itu sebagai negeri pelopor dalam memimpin dan mengungguli isu-isu wanita melalui majlis itu.

Timbalan Ketua Briged Srikandi PKR Gan Pei Nei pula mengemukakan usul kebebasan ekonomi untuk wanita Malaysia dengan menggesa kerajaan pusat menubuhkan satu pasukan petugas untuk memastikan wanita mendapat akses kepada sumber dan peruntukan kerajaan dan swasta.

Sementara itu, Naib Ketua Wanita PKR Haniza Mohd Talha pula mencadangkan usul pelaksanaan 30 peratus perwakilan wanita di semua peringkat pembuat dasar.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain