suria

Penutupan lapangan terbang mengganggu penerbangan haji

BANGKOK: Chamlong Srimuang, penyokong kuat Pakatan Rakyat untuk Demokrasi (PAD), berkata seorang individu penting telah meminta kumpulan anti-kerajaan menghentikan bantahan dan penutupan dua lapangan terbang di Bangkok yang menyebabkan beribu penumpang terkandas serta menggangu perjalanan jemaah haji dari negaranegara Indochina ke Mekah.

Datuk Bandar Bangkok itu memberitahu penyokong PAD di lapangan terbang Don Muang pada pagi Jumaat bahawa beliau telah menjelaskan kepada indivdu berkenaan, bantahan dan penutupan lapangan terbang sejak Isnin itu akan berterusan selagi perdana menteri Somchai Wongsawat tidak meletak jawatan.

Tanpa menamakan individu itu, Chamlong, yang mengetuai gerakan anti-tentera pada Mei 1992, berkata masalah sekarang bukan disebabkan oleh gerakan itu tetapi kerajaan.

Pada tahun 80an, beliau berkhidmat sebagai setiausaha kepada perdana menteri General Prem Tinsulanonda yang kini pengerusi Privy Council, badan penasihat kepada King Bhumibol Adulyadej.

Di lapangan terbang Suvarnabhumi dan Don Muang, beriburibu penyokong PAD terus menghalang jalan dan menduduki terminal penumpang, dengan ucapan berterusan serta makanan dan minuman diberikan percuma.

Ketika kumpulan anti-kerajaan itu tidak menunjukkan tanda untuk berundur, kira-kira 3,000 hingga 5,000 penduduk Islam Thai, serta dari Vietnam, Laos dan Kemboja menunggu untuk menaiki pesawat ke Arab Saudi sebelum tarikh akhir 2 Dis (Selasa). Anggota Parlimen Narathiwat Areepen Uttasin berkata seramai 416 jemaah terkandas di lapangan terbang Suvarnabhumi sejak Isnin apabila pesawat Iranian Air yang dijadual membawa mereka ke Jeddah dilencongkan ke Kuala Lumpur.

"Selepas dua hari menunggu di Kuala Lumpur, pesawat itu kembali ke Iran. Saya telah berbincang dengan pengurus Iranian Air di sini dan beliau berkata hanya satu cara untuk penerbangan itu kembali iaitu Kementerian Luar Thai perlu memberi jaminan dan Kementerian Luar Iran perlu meminta penerbangan itu untuk mengambil mereka," katanya.

Pada masa ini, Areepen berkata beliau sedang berbincang dengan pegawai kementerian bagi mendapatkan jaminan memandangkan lapangan terbang Utapao, berhampiran Pattaya iaitu kirakira 140km dari sini, telah mendapat kebenaran pihak berkuasa Thai untuk diguna oleh pesawat komersial.

Beliau berkata selain penduduk Islam Thai, jemaah dari Laos, Kemboja dan Vietnam juga menggunakan Bangkok untuk ke Arab Saudi. Areepen berkata beratus-ratus jemaah yang ingin ke Mekah juga terkandas di Narathiwat dan Hatyai, sambil menjelaskan bahawa pesawat khas Thai Airway akan menerbangkan kirakira 200 jemaah dari Hatyai hari ini.

"Ibadat Haji adalah perkara yang sangat penting kepada umat Islam. Kami melakukan yang terbaik untuk membantu mereka kerana mereka tidak dapat lagi ke Arab Saudi selepas 2 Dis," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain