suria

Pengantungan anggota Parlimen bukan petanda Speaker, Timbalan Speaker tidak dihormati

KUCHING: Tindakan mengantung anggota Parlimen daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat yang kini kerap berlaku kerana tidak menghormati serta mematuhi keputusan Speaker dan Timbalan Speaker, bukan petanda serius yang mengambarkan wakil rakyat tidak menghormati protokol Parlimen.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, keadaan ini masih lagi terkawal dan belum mencapai tahap yang membimbangkan kerana Speaker, Timbalan Speaker yang mempengerusikan sesuatu persidangan kini mula bertindak tegas terhadap sikap sesetengah anggota Parlimen yang suka mengganggu dan mempersoalkan keputusan dibuat.

"Saya yakin ada perubahan pada sikap Ahli Dewan Rakyat pada masa akan datang daripada membincangkan isu remehtemeh seperti prosedur persidangan ke politik sekarang, akan berubah kepada membincangkan lebih kepada masalah rakyat dan menambahbaik polisi kerajaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini, selepas menyampaikan sumbangan kepada penduduk Kampung Pinggan Jaya yang menjadi mangsa ribut September lepas.

Beliau berkata, ada di antara anggota Parlimen yang sebelum ini tidak ada pengalaman di Dewan Rakyat kerana baru dipilih menjadi wakil rakyat memerlukan masa untuk membiasakan diri dengan prosedur persidangan dan ada pula perlu ditegur bagi mengingatkan perlunya menghormati prosedur persidangan.

"Kadang kala saya terpaksa bersabar dengan sikap wakil-wakil rakyat kerana perlu mendengar pandangan semua pihak untuk bersikap adil dan saksama kepada semua pihak tanpa mengira kesemua fahaman politik," katanya.

Beliau bagaimanapun menjelaskan bahawa dalam prosedur persidangan Parlimen, tindakan mempersoalkan atau menentang keputusan yang telah dibuat Speaker dan Timbalan Speaker dianggap serius serta perlu diambil tindakan tegas.

Rabu lepas, ketika mempengerusikan sidang Dewan Rakyat, Wan Junaidi mengarahkan anggota Parlimen DAP bagi Puchong, Govind Singh Deo keluar dewan dan menggantung kehadirannya selama dua hari yang mendapat liputan meluas media.

Gobind Singh digantung kerana menentang keputusannya menolak usul supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana membuat kenyataan mengelirukan berhubung pemecatan hakim yang terbabit dalam krisis kehakiman 20 tahun lalu.

Bulan lepas, anggota Parlimen DAP bagi Bukit Gelugor, Karpal Singh digantung daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat selama dua hari kerana mencabar Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Pandikar Amin bertindak demikian setelah Pengerusi DAP itu mengeluarkan perkataan yang dianggap kurang ajar dan mendakwa bahawa Pandikar Amin mainmain dan tidak serius ketika mempengerusikan persidangan dan membuat peraturan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain