suria

Malaysia Airlines catat keuntungan RM38 juta dalam suku ketiga

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines membuktikan daya tahannya dan mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM38 juta bagi suku ketiga yang berakhir pada 30 Sept, 2008.

Sehingga tempoh ini bagi tahun 2008, syarikat penerbangan itu mencatatkan keuntungan bersih RM198 juta dengan keseluruhan pendapatan meningkat sebanyak empat peratus kepada RM11.6 bilion.

Malaysia Airlines dalam satu kenyataan berkata ia mencatatkan keuntungan secara konsisten bagi sembilan suku berturutturut meskipun dalam keadaan ekonomi sukar yang menyaksikan lebih 30 syarikat penerbangan mengisytiharkan kebankrapan. "Kami mencatatkan untung dan ini adalah hampir mustahil dalam tempoh sukar seperti itu. Jika harga minyak kekal pada paras AS$100/setong seperti tahun lepas, kami akan dapat memenuhi sasaran kami sehingga RM1 bilion bagi 2008, dan mencapai sasaran prestasi "cemerlang" bagi Pelan Pemulihan Perniagaan 2 seperti yang ditetapkan dalam skorkad korporat 2008 kami," kata Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Idris Jala.

"Bagaimanapun, harga minyak melonjak naik ke paras yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan ini menjejaskan setiap syarikat penerbangan. Meskipun harga minyak mentah telah turun, krisis kewangan ketika ini akan menyebabkan banyak kebankrapan dan industri penerbangan dijangka mengambil masa dua hingga tiga tahun untuk pulih daripada krisis ini," katanya.

Meskipun penurunan ekonomi global dan bil bahan apinya meningkat sebanyak 56 peratus atau RM872 juta kepada RM1.9 bilion, Malaysia Airlines mengekalkan pendapatannya pada RM4.1 bilion dalam suku ketiga 2008. Pendapatannya disokong oleh prestasi operasi dan perbelanjaan bukan bahan apinya yang berkurangan dengan ketara sebanyak 14 peratus kepada RM2.2 bilion.

Pendapatan daripada bahagian penumpang meningkat empat peratus kepada RM2.9 bilion manakala bahagian kargo mencatatkan pendapatan RM589 juta.

Langkah-langkah utama bagi keuntungan sesebuah syarikat penerbangan hasil dan pendapatan bagi sekilometer tempat duduk yang tersedia (RASK) berkembang sebanyak dua angka. Pulangan naik 17 peratus kepada 31.7 sen/RPK manakala RASK meningkat 11 peratus kepada 22.1sen/ASK.

"Persoalannya sekarang ialah syarikat penerbangan yang mana lebih pantas memperkenalkan suatu yang baharu untuk menangani cabaran ini. Dengan rekod prestasi kami, dan dengan menukar cara kami bekerja, kami dengan pantas berubah menjadi 'Syarikat Penerbangan Bernilai Lima Bintang Dunia'," kata Jala.

"Kami juga meneruskan inisiatif inovatif kami. Projek utama ialah "Project Pit Stop" yang melibatkan pengurangan masa mendarat dan berlepas pesawat, dengan menjadi lebih efisien dalam cara kami bekerja.

"Kami akan memulakan projek ini dengan pesawat B737400 bagi penerbangan domestik pada 1 Dis, 2008. Ini akan mengeluarkan satu pesawat dan oleh kerana satu pesawat ini boleh melakukan lapan penerbangan sehari, kami merancang menawarkan lebih banyak kekerapan bagi laluan domestik," katanya.

Pada Mei tahun ini, Malaysia Airlines melancarkan kempen Tambang Murah Setiap Hari (ELF) yang menyaksikan pendapatan dalam taliannya meningkat 150 peratus.

Begitu juga, promosi Tambang Murah Semua Terangkum yang merupakan harga termurah melonjakkan jualannya di Australia, naik sebanyak 1,700 peratus, Malaysia sebanyak 400 peratus dan ASEAN sebanyak 140 peratus. Jualan tambang biasa juga meningkat.

"Kami ingin berkongsi kecekapan kos kami dengan pelanggan kami dengan menawarkan tambang murah. Kami meletakkan harga yang sangat kompetitif.

"Analisis pesaing kami bagi asas laluan demi laluan menunjukkan sesetengah syarikat penerbangan yang mengurang atau menghapuskan surcaj bahan api mereka telah menaikkan tambang mereka atau mengekalkan tambang yang tinggi manakala syarikat penerbangan yang tidak menurunkan surcaj bahan api telah mengurangkan tambang mereka," kata Jala.

Syarikat penerbangan itu akan menerima tiga pesawat pajakan 737800 tahun depan yang akan digunakan bagi menambah kekerapan untuk laluan serantau utama seperti Bangkok dan Jakarta yang mendapat permintaan tinggi daripada penumpang perniagaan, kata Jala.

"Ia adalah penyelesaian terbaik bagi kami kerana kadar pajakan telah turun dan pesawat ini sangat sesuai bagi laluan tersebut. Kami juga merancang menawarkan laluan baharu dan akan mengumumkannya kemudian nanti," katanya.

Jala juga berkata berbanding 2005 apabila ia rugi RM1.3 bilion, Malaysia Airlines kini mempunyai lembaran imbangan yang kukuh, RM4.8 bilion tunai dan hutang yang rendah.

Malaysia Airlines terus menyemak semula semua aspek operasinya bagi meningkatkan pendapatan, kata Jala.

"Potensi utama adalah perniagaan penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih, di mana Malaysia Airlines boleh menawarkan kirakira 50 peratus masa tenaga kerja yang tersedia bagi menampung keperluan penyenggaraan pihak ketiga," katanya.

Dengan pembelian pesawat ATR72 yang menjimatkan minyak bagi Firefly, Malaysia Airlines boleh menjangkakan peningkatan pulangan dan pendapatan apabila Firefly mengembangkan rangkaiannya ke Indonesia dan Thailand, katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain