suria

Kes fitnah RPK: Hakim putus tunggu keputusan Mahkamah Tinggi

[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Sesyen, Mohamad Sekeri Mamat hari ini memutuskan untuk menunggu keputusan Mahkamah Tinggi sama ada perbicaraan kes fitnah Raja Petra Kamarudin (gambar) akan didengar di Mahkamah Sesyen atau Mahkamah Majistret.

Beliau kemudian menetapkan 15 Dis untuk kes itu disebut.

Mohamad Sekeri sepatutnya memberikan keputusan hari ini mengenai bantahan permulaan Raja Petra yang memohon mahkamah itu mengembalikan kes tersebut ke mahkamah rendah untuk perbicaraan dengan alasan bahawa perintah majistret untuk memindahkan kes berkenaan adalah tidak sah, batal dan bertentangan dengan undang-undang.

Majistret itu telah membenarkan permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Sesyen atas alasan ia membabitkan kepentingan awam.

Editor laman web Malaysia Today itu telah memohon kepada Mahkamah Tinggi Selasa lalu supaya perbicaraan kes tersebut dipindahkan semula daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Majistret.

Peguam beliau, Manjeet Singh Dhillon dalam hujahnya berkata, "secara alternatifnya, Mahkamah Tinggi juga boleh merujuk kes tersebut ke Mahkamah Persekutuan" untuk mengkaji kaitan antara pemindahan kes-kes majistret ke Mahkamah Tinggi di bawah Seksyen 177, Kanun Prosedur Jenayah dan hak seseorang kepada sesaksamaan di bawah Artikel 8 (1), Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah Tinggi menetapkan 4 Dis untuk kes itu didengar.

Raja Petra menghadapi tiga dakwaan kerana memfitnah isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Kolonel Norhayati Hassan dan suami, Pemangku Kolonel Abdul Aziz Buyong dalam akuan bersumpah yang dibuat pada pukul 10.25 pagi, 18 Jun lalu.

Dia didakwa di Mahkamah Majistret Julai lalu namun kesnya telah dipindahkan ke Mahkamah Sesyen pada 15 Ogos.

Jika sabit kesalahan, Raja Petra menghadapi hukuman penjara dua tahun atau didenda, atau kedua-duanya, bagi setiap pertuduhan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Minggu ini ditetapkan untuk perbicaraan tetapi mahkamah tersebut terpaksa mendengar bantahan permulaan Raja Petra sebelum perbicaraan dijalankan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain