suria

BPR buat laporan polis terhadap PKR atas tuduhan badan itu jadi alat Umno

SEREMBAN: Badan Pencegah Rasuah (BPR) Negeri Sembilan hari ini membuat satu laporan polis berikutan kenyataan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menuduh bahawa para pegawai badan itu menjadi alat kepada Umno.

Menurut Pegawai Penyiasat BPR Ting Ing Ping, beliau telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban 2 supaya tuduhan itu disiasat oleh pihak lain.

"Kalau kita siasat nanti jadi isu pula, biar orang lain siasat. Yang nyata kami semua tersinggung," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu di sini.

Katanya, tuduhan PKR itu walaupun dibuat ke atas nama Ketua Pengarah BPR dan Pengarah BPR negeri, ia sebenarnya telah menjejas nama baik seramai 50 kakitangan dan pegawai BPR di negeri ini.

Kenyataan itu dikatakan dibuat semalam oleh Setiausaha PKR Nor Azizi Abd Aziz yang mendakwa siasatan badan itu ke atas pemimpin Umno sering menemui jalan buntu berbanding siasatan yang membabitkan pihak PKR.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain