suria

UiTM menang Anugerah KualitiI Perdana Menteri 2008

KUALA LUMPUR Universiti Teknologi Mara (UiTM) diumumkan sebagai pemenang Anugerah Kualiti Perdana Menteri pada majlis penyampaian Anugerah Kualiti Sektor Awam (AKSA) 2008 yang disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di sini hari ini.

Kejayaan itu membolehkan UiTM membawa pulang wang tunai RM50,000, piala, sijil dan dibenar menggunakan simbol 'Q' serta mencetak kenyataan 'Pemenang Anugerah Kualiti Perdana Menteri' di kepala atau kaki surat rasminya selama tiga tahun.

UiTM berjaya mengenepikan 40 calon lain antaranya termasuk Universiti Sains Malaysia(USM), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Agensi Nuklear Malaysia, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Pejabat Daerah dan Tanah Dungun, Terengganu dan Pejabat Kesihatan Putrajaya.

Naib Canselor UiTM Prof Datuk Seri Dr Ibrahim Abu Shah berkata kemenangan itu merupakan satu lagi pengiktirafan amat bermakna kepada UiTM.

"Selepas ini semua kakitangan UiTM akan mempunyai tugas dan tanggungjawab yang lebih berat bukan sahaja untuk mencipta lebih banyak kejayaan tetapi yang lebih penting untuk mengekalkan kecemerlangan yang diperolehi ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ditanya apakah faktor yang membolehkan UiTM merangkul anugerah itu, Ibrahim berkata ia dilihat daripada kejayaan UiTM sejak kebelakangan ini dalam merangkul anugerah kecemerlangan selain berjaya meningkatkan aspek penyelidikan dalam pelbagai bidang.

Pada majlis itu juga KWSP yang diumum pemenang bagi Anugerah Kualiti Ketua Setiausaha Negara membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000, piala dan sijil penghargaan.

Anugerah Kualiti Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam pula dimenangi MPSJ dengan membawa pulang wang tunai RM25,000, piala dan sijil penghargaan manakala tiada pemenang bagi kategori Anugerah Kualiti Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).

MPSJ turut memenangi satu lagi anugerah iaitu Anugerah Kualiti Pengurusan Kewangan bagi kategori Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Sementara itu kategori kementerian atau kerajaan negeri dimenangi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, kategori badan berkanun diraih Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan tiada pemenang bagi kategori jabatan.

Pemenang utama bagi Anugerah Kualiti Pentadbiran Daerah dan Tanah serta Anugerah Kualiti Pihak Berkuasa Tempatan pula diumumkan tiada pemenang.

Lima pemenang bagi Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam ialah Klinik Pakar Pergigian Kuching Sarawak, Jabatan Pengairan dan Saliran Perak, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, Majlis Perbandaran Seremban dan MAMPU. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain