suria

Thailand di ambang rampasan kuasa

BANGKOK: Kerajaan Thailand yang sedang dibelenggu masalah, merayu kepada tentera supaya mengelak daripada mengadakan rampasan kuasa bagi menyelesaikan krisis politik semasa ekoran khabar angin yang bertiup kencang mengenai campur tangan tentera.

Jurucakap kerajaan Natthawut Saikua memberitahu media ketika sedang berlangsung mesyuarat Kabinet di bandar raya utara Chiang Mai bahawa kerajaan tidak berhasrat untuk memecat Panglima Tentera Anupong Paochinda.

"Saya keluar daripada mesyuarat Kabinet untuk membuat pengumuman yang penting ini. Tolong jangan adakan satu lagi rampasan kuasa," katanya.

Sejak pagi ini, terdapat laporan yang tidak disahkan bahawa kereta kebal dan tentera sedang dalam perjalanan ke ibu negara Thailand ini.

Pada Rabu, Anupong berkata Perdana Menteri Somchai Wongsawat perlu membubarkan parlimen bagi menamatkan kekacauan setelah beriburibu penyokong anti kerajaan menutup Lapangan Terbang Suvarnabhumi dan Don Muang.

Somchai adalah ipar Perdana Menteri Thaksin Shinawatra yang disingkirkan oleh tentera pada September, 2006 dengan Anupong menjalankan peranan utama.

Sementara itu, pengembaraan udara di Bangkok ditutup sama sekali oleh pemprotes setelah lapangan terbang domestik Don Muang, pintu utama ke negara ini, ditutup pada tengah malam tadi sementara Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi yang kini diduduki oleh pemprotes anti-kerajaan masih lagi ditutup.

Dengan penutupan Don Muang, tidak ada lagi laluan pilihan untuk orang asing yang telah menggunakan lapangan terbang domestik untuk terbang ke Phuket dan seterusnya menyambung penerbangan ke luar negara.

"Kita terpaksa menutup lapangan terbang itu (Don Muang) kerana pemprotes berada di dalam terminal. Ia tidak selamat lagi," kata pegawai Lapangan Terbang Thailand (AOT).

Selepas pembukaan Suvarnabhumi pada September, 2006, Lapangan Terbang Don Muang ditutup sementara waktu tetapi dibuka semula untuk penerbangan domestik. Ketika penyokong Pakatan Rakyat untuk Demokrasi (PAD) menyerbu Suvarnabhumi pada malam Isnin, banyak pesawat dari lapangan terbang itu dilencongkan ke Don Muang.

Lapangan Terbang Suvarnabhumi mengendalikan kira-kira 400 penerbangan dan menempatkan kira-kira 100,000 penumpang.

Polis dan askar tidak mampu berbuat apa-apa kerana mereka mengetuai pemprotes untuk mengambil alih kedua-dua lapangan terbang itu.

Hanya penyokong PAD dibenarkan ke Lapangan Terbang Suvarnabhumi oleh pengawalnya sementara penumpang dan perkhidmatan kargo ditutup sama sekali.

Pengurus Kawasan Malaysia Airlines (MAS) untuk Thailand, A. Vijayakumaran berkata perkhidmatan Phuket-Kuala Lumpur dinaiktaraf memandangkan permintaan yang tinggi daripada penumpang yang mendapatkan urusan pilihan untuk meninggalkan negara ini.

"Kedua-dua penerbangan dari Phuket dan Kuala Lumpur hari ini dan Jumaat penuh ditempah. Kita cuba bawa masuk pesawat yang lebih besar lewat petang esok untuk menyediakan lebih banyak tempat duduk," kata beliau.

Sebahagian besar adalah warga asing, yang telah bercuti di Koh Samui dan Phuket dan merancang untuk pulang melalui Bangkok, kini ke Kuala Lumpur atau Singapura bagi mendapatkan penerbangan sambungan ke tanah air.

MAS telah membatalkan kesemua empat penerbangan antara Kuala Lumpur dan Bangkok sementara Air Asia dan anak syarikat Thai juga membatalkan hampir 200 penerbangan dari Bangkok ke banyak kawasan di rantau ini.

Di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, keadaan ini akan berlarutan kerana PAD telah berikrar untuk tinggal di kawasan tersebut sehingga Perdana Menteri Somchai Wongsawat meletak jawatan, malah bersedia menyerang polis jika pihak berkuasa mahu menyuraikan mereka berikutan dengan arahan Mahkamah Sivil malam tadi bagi pemprotes itu meninggal tempat tersebut. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain