suria

Seorang rakyat Singapura antara tebusan pengganas Mumbai

SINGAPURA: Seorang rakyat Singapura adalah antara beberapa tebusan warga asing yang ditahan pengganas ekoran beberapa siri serangan terancang di Mumbai India, yang membunuh puluhan orang awam semalam.

Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura dalam satu kenyataan berkata pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa India bagi membebaskan tebusan rakyat Singapura itu bersama tebusan-tebusan lain.

Dalam kenyataan yang sama, kementerian itu berkata kerajaan Singapura mengutuk keras serangan itu.

"Serangan di Mumbai mengesahkan lagi ancaman pengganas yang sedang dihadapi hari ini. Singapura berdiri kukuh di belakang kerajaan India dalam peperangannya menentang keganasan," menurut kenyataan itu.

Tambahnya kerajaan Singapura turut menyampaikan ucapan takziah kepada mangsa, keluarga mereka, kerajaan India dan rakyatnya terhadap kejadian itu.

Berita terkini dari Mumbai melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 100 orang terbunuh dan 300 lagi tercedera dalam serangan oleh kumpulan bersenjata terhadap hotel-hotel, stesen kereta api, sebuah hospital, sebuah panggung wayang dan beberapa bangunan di sekitar daerah perdagangan India itu. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain