suria

Kerajaan timbang kuatkuasa bawa bekas sendiri di pasar raya

KOTA BAHARU: Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar akan menimbang cadangan menguatkuasakan arahan penggunaan membawa bekas sendiri bagi membeli barangan di pasar raya jika ia boleh membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar.

Timbalan Menterinya, Datuk Maznah Mazlan berkata jika langkah itu wajar, penguatkuasaan tersebut bagaimanapun akan dilakukan setelah rakyat di negara ini benar-benar memahami isu alam sekitar yang membabitkan sisa buangan seperti plastik.

"Kita mungkin boleh melaksanakan kaedah ini dan kini kerajaan sedang berusaha memberikan kefahaman mengenai isu alam sekitar dan jika semua pihak merasakan ia wajar dilakukan, peraturan ini boleh dimulakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Alam Sekitar kepada lebih 100 pemimpin wanita yang mewakili Badan Bukan Kerajaan (NGO) di sini, hari ini.

Maznah turut memuji langkah beberapa pasar raya di ibu negara yang telah memperkenalkan kaedah itu lebih awal dengan pengguna perlu membayar jika mahu menggunakan beg plastik yang disediakan pasar raya terbabit.

Katanya langkah pasar raya itu adalah sangat baik dan secara tidak langsung memberikan kesedaran kepada pengguna betapa pentingnya menjaga alam sekitar melalui sisa pembuangan bahan pepejal seperti beg atau botol plastik.

Beliau berkata sasaran kementerian kini adalah memberikan kefahaman yang sejelasjelasnya kepada wanita yang menjadi golongan sasar isu terbabit.

"Jika golongan wanita ini memahami isu alam sekitar sudah tentu suami dan anakanak akan terdidik dengan sikap pentingnya berjimat cermat dan samasama memastikan kualiti alam sekitar berada pada tahap sepatutnya," katanya.

Menurutnya kementerian telah mengedarkan buku kecil "Amalan Mesra Alam" terutama kepada pelajar, wanita dan peniaga pasar malam bagi menerangkan kepada mereka bagaimana menjaga alam sekitar.

"Tetapi kementerian berpendapat adalah tidak mencukupi untuk kita mengedarkan buku ini sematamata tanpa rakyat memahami kandungan buku tersebut dan sebab itu majlis penerangan perlu diadakan," katanya.

Pada majlis itu, Maznah turut menerangkan kepada pemimpin wanita mengenai isu pemanasan global dan penipisan ozon serta kesannya kepada kehidupan sejagat. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain