suria

Warga Myanmar dipenjara 10 tahun kerana rompak dan tikam lelaki tempatan

KLANG: Seorang penjual sayur warga Myanmar hari ini dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini setelah mengaku bersalah merompak dan menikam seorang lelaki tempatan yang baru mengeluarkan wang daripada sebuah bank di Pelabuhan Klang di sini, Julai lepas.

Hakim Aslam Zainuddin memerintahkan tertuduh, Guna A/L Samy, 26, yang tidak diwakili peguam menjalani hukuman itu berkuatkuasa dari tarikh dia ditangkap iaitu pada hari kejadian, 7 Julai lepas.

Tertuduh didakwa bersamasama rakan senegaranya, Sunjey A/L Krisnan, 26, merompak sebuah beg pinggang, sebuah telefon bimbit dan wang tunai RM96 kepunyaan Fazilan Abdullah, 34, dan semasa melakukan rompakan tertuduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di tepi jalan berhampiran RHB Bank Pelabuhan Klang, kira-kira pukul 2.30 petang pada 7 Julai.

Kesalahan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh didenda atau sebat.

Fakta kes yang disediakan Penolong Pendakwa Raya Aimi Syazwani Sarmin menyebut mangsa dan rakannya Lau Heng Lai pergi ke bank berkenaan untuk urusan pengeluaran wang sebanyak RM13,775 dan semasa mereka keluar dari bank menuju ke kereta, tiba-tiba tertuduh dan rakannya yang bersenjatakan parang datang lalu mengejar mereka.

Lau melarikan diri ke dalam bank tetapi tertuduh dan rakannya menahan Fazilan dan memaksa serta mengugut mangsa menyerahkan beg pinggangnya.

Tindakan mangsa yang berdegil untuk berbuat demikian menyebabkan tertuduh menikam dan menetak mangsa beberapa kali sehingga mangsa terjatuh.

Tertuduh kemudian menyerahkan beg pinggang itu kepada rakannya.

Mereka bagaimanapun ditahan polis tidak lama kemudian dan parang, jaket hitam serta baju berwarna kuning mempunyai kesan darah yang dipakai oleh tertuduh turut dirampas dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk ujian perbandingan DNA.

Mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini dan hasil rawatan mendapati mangsa mengalami tiga kesan tikaman di bahagian perut dan luka di bahagian lengan, ibu jari dan jari manis mangsa.

Laporan Jabatan Kimia juga mengesahkan bahawa parang dan jaket hitam yang mempunyai kesan darah adalah positif mempunyai darah mangsa manakala baju berwarna kuning positif mempunyai darah mangsa dan tertuduh.

Guna dan Sunjey sebelum ini mengaku tidak bersalah ketika pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada 21 Julai lepas.

Tertuduh bagaimanapun menukar pengakuannya pada 21 November lepas sementara Sunjey masih mengekalkan pengakuan tidak bersalahnya.

Mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan pada 29 dan 30 April depan. BERNAMA

Artikel Berikut

54201 pengedar dadah tahun ini

Artikel Lain