Usul Gaza ditolak BNPakatan Rakyat sepakat kutuk Zionis - Semasa | mStar

Usul Gaza ditolak BNPakatan Rakyat sepakat kutuk Zionis

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini menolak usul yang dikemukakan Dr. Mohd Puad Zakarshi (BN-Batu Pahat) bagi menangguhkan sidang Parlimen agar membincangkan mengenai keganasan terbaru rejim Zionis di Gaza selepas terlucutnya perjanjian gencatan senjata antara Israel dengan Hamas.

Penolakan usul tersebut dibacakan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee mengikut Peraturan Mesyuarat 18(2) kerana tidak perlu disegerakan.

Bagaimanapun keputusan penolakan tersebut mendapat bantahan daripada ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan juga Pakatan Rakyat yang beranggapan bahawa Parlimen Malaysia perlu membuat satu ketetapan dan pendirian terhadap tindakan kejam rejim Zionis itu.

Ronald memaklumkan bahawa usul berkenaan tidak perlu disegerakan atas dasar Malaysia melalui Kementerian Luar telah mengeluarkan kenyataan akhbar pada 21 November lalu bagi mengutuk sekeras-kerasnya keganasan Zionis.

Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) bangun dan meminta Speaker mempertimbangkan semula keputusan beliau itu kerana ia melibatkan kepentingan oarng awam yang dianiaya.

"Saya merayu usul yang sebaik ini perlu dibahaskan kerana melibatkan kepentingan orang awam di Gaza, mereka kebuluran atas kekejaman Zionis.

"Biarlah Parlimen Malaysia melahirkan satu keputusan bagi mengutuk kekejaman ini," katanya.

Selepas itu Nasharuddin Mat Isa (PAS-Bachok) bangun bagi menyokong usul yang dibawa itu.

"Saya mewakili rakan-rakan di sebelah sini menyokong penuh usul ini untuk dibincangkan dan dibahaskan.

"Jika hanya dibuat (bantahan) oleh Wisma Putra sahaja itu tak berapa serius, kita mahu Parlimen Malaysia menjadi medan untuk menyatakan (pendirian) bahawa kita tak mengenal parti politik sama ada di sebelah sana (kerajaan) atau sebelah sini (pembangkang)," katanya.

Bagaimanapun Ronald menjelaskan bahawa ahli Dewan masih berpeluang untuk membahaskan mengenai perkara ini apabila tibanya giliran perbahasan bagi Kementerian Luar.

Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) turut memohon pertimbangan semula bagi membenarkan usul berkenaan dibahaskan.

"Pada hemat saya ini adalah kesempatan yang cukup baik menunjukkan ada isu-isu penting yang boleh diputuskan bersama oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik.

"Kita faham Kementerian Luar telah nyatakan pendirian, tapi bezanya ia bukan lagi sikap atau pendirian satu kementerian jika ia melibatkan Parlimen yang didokong oleh seluruh rakyat Malaysia," katanya.

Tambah beliau pendirian yang dinyatakan oleh kementerian dan Parlimen adalah dua perkara yang berbeza dan mempunyai impak yang berlainan.

Bagaimanapun Ronald berkata keputusan beliau itu adalah muktamad setelah meneliti bahawa tindakan Kementerian Luar adalah cukup memadai bagi mewakili kerajaan Malaysia yang sensitif dengan isu kekejaman yang berlaku di Semenanjung Gaza.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Wisma Putra pada 21 November lalu menyatakan bahawa Malaysia mendesak masyarakat antarabangsa terutama Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan negara-negara kuasa besar bertindak bagi menamatkan krisis kemanusiaan di Gaza.

Malaysia juga mendesak Majlis Keselamatan PBB mengetepikan perbezaan politik dan ideologi di atas nama perikemanusiaan dan menyelamatkan penduduk Gaza terutama kaum wanita dan kanak-kanak daripada tindakan agresif rejim Zionis.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

WKB 2030: Ke arah masa depan rakyat dan negara yang lebih cerah

WAWASAN ini menjamin kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati bersama tanpa mengabaikan tanggungjawab membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah serta miskin.

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.

default image

Penerima sulung Anugerah Ikon Pesara sebak imbau saat bersama kanak-kanak disleksia – “Persaraan berbaloi... ada jadi pilot, arkitek dan peguam”

KARNIVAL Rasa Sayang (KRS) 2019 anjuran KWAP membuka mata bakal pesara dan pesara untuk bergiat aktif selepas persaraan.

default image

Putrajaya... tak kenal maka tak cinta

PUTRAJAYA dibina atas sebuah impian. Dan berdasarkan beberapa pertimbangan, ia merupakan lokasi impian untuk didiami.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030... ketahui suara dan harapan rakyat

RAKYAT menantikan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang dapat memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat.

Artikel Lain