suria

Remaja tertembak ibu selepas dimarahi bapa

RAWANG:Berang kerana dimarahi ayahnya seorang remaja lelaki berumur 15 tahun bertindak melepaskan satu das tembakan secara rambang ke arah bapanya, namun tembakan itu tersasar mengenai ibunya.

Dalam kejadian 7 petang itu, anak sulung dari empat beradik itu berselisih faham dengan bapanya yang juga seorang anggota polis berpangkat sarjan di rumahnya di Bandar Country Homes di sini.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata remaja itu dikatakan berang setelah dimarahi bapanya lalu bertindak mengambil senjata api milik bapanya yang disimpan di dalam laci di rumah mereka sebelum melepaskan tembakan itu.

Wanita berusia 45 tahun itu di hantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan dan dilapor stabil.

"Tindakan remaja itu melepaskan tembakan mengenai rusuk kanan ibunya. Kejadian berlaku di kawasan tempat kereta di halaman rumah," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.

Remaja itu dipercayai melarikan diri dengan senjata api yang digunakan itu. "Gerakan menjejaki suspek diadakan di sekitar Rawang," katanya.

Polis meminta kerjasama orang ramai yang melihat kejadian itu atau melihat suspek supaya menghubungi balai polis berhampiran. BERNAMA

Artikel Berikut

54201 pengedar dadah tahun ini

Artikel Lain