suria

PM Fahami dan jangan putar belit intipati fatwa yoga

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini meminta semua pihak memahami intipati fatwa yang diumumkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan berkaitan amalan yoga dan tidak memutarbelitkan fakta sehingga membuat rakyat terkeliru.

Perdana Menteri berkata bagi umat Islam yang mengamalkan senaman yoga tetapi tidak menggunakan sebarang bentuk mantera, mereka boleh meneruskan aktiviti tersebut kerana ia adalah untuk kebaikan kesihatan mereka.

"Saya ingin tegaskan bahawa amalan fizikal tanpa sebarang unsur-unsur pemujaan boleh diteruskan, ertinya tidak diharamkan. Saya percaya umat Islam tidak mudah untuk disyirikkan," katanya kepada Bernama apabila dihubungi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas pelbagai pandangan dan kekeliruan mengenai keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan amalan yoga untuk umat Islam kerana ia melibatkan unsur mantera dan pemujaan.

Perdana Menteri berkata masyarakat bukan Islam tidak perlu berkecil hati mengenai keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan itu kerana ia adalah berkaitan dengan masyarakat Islam semata-mata.

"Apa yang saya fahami daripada keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan itu adalah untuk memberi penjelasan kepada umat Islam yang terlibat dalam senaman yoga," katanya.

Abdullah berkata beliau turut memahami bahawa keputusan untuk melaksanakan fatwa itu hanya akan dilaksanakan selepas mendapat perkenan Majlis Raja-Raja.

Pengumuman mengenai pengharaman yoga untuk umat Islam itu dibuat oleh Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Datuk Dr Abdul Shukor Husin pada Sabtu lepas. BERNAMA

Artikel Berikut

54201 pengedar dadah tahun ini

Artikel Lain