suria

Penyelia gudang mengaku tidak bersalah beri rasuah kepada pegawai Marin

KLANG: Seorang penyelia gudang hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan memberi suapan RM30,000 kepada seorang pegawai polis Marin di sini bulan lepas.

Chu Say Seng, 44, dari Pandamaran di sini, dituduh memberi suapan supaya pegawai itu tidak mengambil tindakan ke atas tiga warga Indonesia dipercayai pekerjanya dan tidak mengambil tindakan ke atas barangan rampasan yang telah dirampas di bawah Akta Kastam 1967.

Tuduhan itu dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Aslam Zainuddin.

Tertuduh didakwa memberi rasuah kepada ASP Mohd Khairuddin Jamal, penolong penguasa polis, Pasukan Polis Marin Selangor sebagai dorongan untuk melakukan perkara itu di Bilik Operasi Pangkalan Polis Marin, Pulau Indah, Pelabuhan Klang di sini, kira-kira pukul 5 petang pada 4 Nov lepas.

Chu yang ditangkap sehari selepas kejadian, didakwa mengikut Seksyen 11 (b) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 Akta yang sama, yang membawa hukuman penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika bersabit kesalahan.

Hakim Aslam membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM15,000 dan menetapkan perbicaraan selama dua hari bermula 8 Julai tahun depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Badan Pencegah Rasuah (BPR) Ng Siew Wee sementara Chu diwakili peguam A.Vasudevan.

Akhbar sebelum ini melaporkan polis Marin Selangor telah menahan seorang lelaki warga tempatan kerana cuba memberi rasuah kepada pegawai dan anggota polis untuk menyelesaikan kes rampasan membabitkan 12,838 telefon bimbit bernilai kira-kira RM3.2 juta yang dipercayai cuba diseludup ke Indonesia, ketika sebuah bot diperiksa di Pelabuhan Selatan di sini. BERNAMA

Artikel Berikut

54201 pengedar dadah tahun ini

Artikel Lain