suria

Malaysia Airlines AirAsia batal semua penerbangan ke dan dari Bangkok

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines dan AirAsia membatalkan semua penerbangannya ke dan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Bangkok hari ini berikutan situasi tegang di sana.

Pembatalan semua penerbangan keduadua syarikat itu dibuat selepas penunjuk perasaan anti kerajaan di Bangkok memasuki kompleks lapangan terbang semalam, menyebabkan lapangan terbang antarabangsa utama di bandar itu terpaksa ditutup.

Pengarah Operasi Malaysia Airlines Datuk Tajuden Abu Bakar berkata empat penerbangan yang dijadual antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Bangkok dibatalkan berikutan tindakan pihak berkuasa Thai menutup lapangan terbang itu.

"Memandangkan tempoh penutupan itu tidak diketahui pada masa ini, kami tidak boleh menyatakan bila penerbangan kami ke sana akan kembali beropeasi.

"Kami menasihatkan penumpang di Malaysia untuk sentiasa berhubung dengan pusat panggilan kami yang beroperasi 24 jam melalui talian bebas tol 1300 88 300 manakala penumpang di Bangkok pula diminta menghubungi pejabat tempahan di sana untuk mendapatkan maklumat jadual penerbangan terkini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Penerbangan dua kali sehari Malaysia Airlines antara KLIA dan Phuket, bagaimanapun, beroperasi mengikut jadual.

Sementara itu, AirAsia dalam kenyataannya berkata penerbangan ke dan dari Bangkok akan disambung sebaik lapangan terbang itu dibuka semula, bergantung kepada kelulusan pihak berkuasa lapangan terbang Thai.

Semua penumpang yang terjejas secara automatik akan mendapat semula bayaran mereka melalui 'credit shell' yang akan dikreditkan terus ke dalam akaun mereka.

Untuk membuat urusan bagi penerbangan seterusnya, penumpang perlu ke kaunter jualan tiket AirAsia di lapangan terbang terbabit untuk perlepasan apabila lapangan terbang Bangkok dibuka semula, kata kenyataan itu.

"Penumpang boleh menggunakan 'credit shell' mereka untuk mendapatkan tempat dalam penerbangan seterusnya ke atau dari Bangkok dalam tempoh tiga hari daripada tarikh asal perjalanan dan urusan itu tidak memerlukan mereka menghubungi pusat panggilan Air Asia."

Untuk pelanggan GoHoliday, AirAsia sedang berbincang dengan hotel terbabit dan akan sentiasa membekalkan mereka dengan maklumat terkini, kata kenyataan itu. BERNAMA

Artikel Berikut

54201 pengedar dadah tahun ini

Artikel Lain