suria

Lapangan terbang Thailand ditutup atas sebab keselamatan

BANGKOK: Lapangan Terbang Suvarnabhumi, yang paling sibuk di Thailand, menutup penerbangan pelepasannya malam ini sebagai langkah keselamatan berikutan beratus penyokong anti-kerajaan memasuki terminal lapangan terbang itu.

Bagaimanapun lapangan terbang itu masih dibuka untuk ketibaan pesawat.

Pihak berkuasa lapangan terbang Thailand membuat pengumuman itu apabila Perikatan Rakyat bagi Demokrasi (PAD) memberi kata dua kepada Perdana Menteri Somchai Wongsawat untuk meletak jawatan tanpa syarat.

"Somchai mesti bertanggungjawab ke atas kejadian 7 Oktober yang menyaksikan dua daripada orang kami terbunuh dan lebih 500 cedera," kata Sondhi Limthongkul, pemimpin kuat PAD kepada beribu penyokong PAD di Rumah Kerajaan yang rampas pada 26 Ogos.

Penerbangan Malaysia juga membatalkan empat penerbangannya antara Bangkok dan Kuala Lumpur esok.

Di lapangan terbang itu, penyokong PAD berkeliaran di terminal penumpang dan di dalam kedai bebas cukai.

Somchai dijangka pulang dari Peru esok.

Terdahulu hari ini, beratus-ratus penyokong anti kerajaan cuba menghalang laluan ke lapangan terbang Suvarnabhumi Bangkok apabila mereka meneruskan cubaan untuk menggulingkan kerajaan pimpinan Somchai.

Polis berkata beberapa orang cedera, termasuk sekurangkurangnya dua akibat tembakan, apabila kumpulan pro kerajaan dan penyokong PAD bertembung berhampiran Lapangan Terbang Don Muang. BERNAMA

Artikel Berikut

54201 pengedar dadah tahun ini

Artikel Lain