suria

Hukuman terhadap bekas Ketua Pengarah terlibat rasuah diketahui 21 Disember

KUALA TERENGGANU: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menangguhkan hukuman terhadap bekas Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu, Shamsul Baharin Abdul Mutalib, yang didapati bersalah menerima rasuah berjumlah RM29,700 kerana peguam belanya dimasukkan ke hospital kerana masalah kesihatan.

Hakim M. Bakri Abdul Majid berkata penangguhan itu terpaksa dibuat setelah Akhbardin Abdul Kadir, peguam bela Shamsul Bharin, memaklumkan kepada mahkamah melalui sepucuk surat semalam bahawa beliau dimasukkan ke Hospital Ampang Puteri di ibu negara.

Mahkamah kemudian menetapkan 21 Disember ini untuk menjatuhkan hukuman terhadap Shamsul Baharin, 59, yang didapati bersalah oleh mahkamah yang sama pada 9 November lepas terhadap empat tuduhan rasuah ketika bertugas sebagai pengarah perbadanan itu pada 1995 dan 1997.

Bagi pertuduhan pertama, dia menghadapi tuduhan pindaan menggunakan kedudukannya untuk mengeluarkan pesanan bagi pembelian sehelai kain songket bagi kegunaan perbadanan berharga RM3,500 milik isterinya Habibah Zikri.

Dia turut menghadapi tuduhan pindaan menggunakan kedudukannya untuk mengeluarkan pesanan bagi pembelian sebuah dulang tembaga mengandungi ayat Al-Quran juga milik isterinya.

Shamsul Bahrin dituduh melakukan keduadua kesalahan itu di pejabat perbadanan berkenaan di Lot 2195, Kawasan Perindustrian Chendering pada 30 Oktober 1995.

Bagi pertuduhan ketiga, dia menghadapi tuduhan pindaan mengeluarkan pesanan bagi pembelian satu set pasu dan bekas serbaguna serta 18 unit bekas serbaguna milik isterinya berharga RM9,400.

Untuk pertuduhan pindaan keempat, dia didakwa mengeluarkan pesanan untuk pembelian satu set tepak sireh dan sebuah batil perak berharga RM10,600 juga milik isterinya.

Shamsul Baharin dituduh melakukan keduadua perbuatan itu di tempat yang sama pada 12 Julai 1997.

Pendakwaan dijalankan oleh Penolong Pendakwa Raya, Mohd Ahsan Abdul Latif. BERNAMA

Artikel Berikut

54201 pengedar dadah tahun ini

Artikel Lain