suria

Exco Wanita nafi dakwaan tiada perbincangan peralihan kuasa

KUALA LUMPUR: Exco Pergerakan Wanita Umno hari ini menafikan dakwaan seorang ahli exco pergerakan semalam bahawa tidak wujud perbincangan di kalangan ahli exco berhubung pelan peralihan kepimpinan antara ketua pergerakan itu, Tan Sri Rafidah Aziz dan naib ketua, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Ketua Penerangan Wanita, Datin Paduka Seripah Norli Syed Husin berkata dakwaan Pengerusi Biro Antarabangsa Wanita, Datuk Raja Ropiah Raja Abdullah yang disiarkan dalam sebuah akhbar hari ini bahawa Rafidah tidak pernah berbincang dengan Exco pergerakan itu dan hanya membuat pengumuman mengejut di depan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, pada satu majlis rasmi Wanita berhubung perkara itu adalah tidak benar sama sekali.

"Ahli-ahli exco jangan keluarkan kenyataan tidak berasas dan berbaur fitnah kerana kedua-dua pihak telah menawarkan diri untuk bertanding sebagai Ketua Wanita.

“Kita sambut baik keputusan itu. Biar perwakilan buat keputusan pada 24 Mac depan siapa yang layak menjadi pemimpin mereka," katanya dalam satu sidang media khas di Menara Dato' Onn, di sini, hari ini.

Jelas Seripah, agenda mengenai pelan peralihan itu telah dibincangkan secara panjang lebar dalam mesyuarat Exco yang telah diadakan pada 25 September yang dihadiri oleh Shahrizat dan Raja Ropiah.

“Kami sebagai ahli Exco yang hadir ketika itu mempunyai bukti yang sah, ada tape recorder dan cd yang boleh membuktikan bahawa apa yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut.

Perkara tersebut turut disahkan oleh Exco Wanita, Datuk Halimah Sadique; Ketua Wanita bahagian PJ Selatan, Munaliza Hamzah dan Ketua Wanita bahagian Ampang, Dr. Rozaidah Talib.

Sementara itu, Halimah yang juga ahli Parlimen Tenggara meminta supaya ahli-ahli exco berhenti daripada memutarbelitkan fakta berhubung pelan peralihan itu kerana ia hanya akan mengelirukan ahli-ahli di peringkat akar umbi.

“Saya kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan kerana ia menyalahi fakta dan tidak berasas. Ia boleh menjejaskan kredibiliti kedua-dua pemimpin.

"Hentikanlah bercakap soal-soal yang boleh memutarbelitkan fakta dan tak perlu ada lagi cerita ulang tayang apa yang berlaku sebelum (pendirian itu dibuat). Cukup!,’’ tegasnya.

Beliau pada masa yang sama menyeru penyokong mana-mana pihak agar tidak mengadu domba kerana ia akan mengelirukan persepsi ahli-ahli parti kepada kedua pemimpin terbabit.

“Jangan putar belitkan kebenaran untuk kepentingan diri sendiri dan cuba mempopularkan calon yang diwakili. Ini bukan soal pemilihan ratu cantik, bukan soal pemilihan ratu kebaya atau ratu baju kurung.

“Ini soal pemilihan seorang pemimpin Wanita yang akan mengerakkan jentera kekuatan Umno dan Barisan Nasional untuk menjayakan pilihan raya ke-13,” katanya.

Tegasnya lagi, ahli-ahli exco telah diberikan masa yang cukup untuk menyuarakan pandangan masing-masing dalam mesyuarat tersebut.

“Semua ahli exco diberi peluang bercakap, mengapa tak guna platform yang diberikan untuk suarakan pandangan masing-masing.

“Kita pergi mesyuarat bukan untuk panaskan kerusi. Kita ada peranan dan tanggungjawab, kalau tak setuju kenapa tak suarakan dalam mesyuarat? Ini bercakap dibelakang, bercakap dengan media,” ujarnya.

Jelas beliau, penghormatan perlu diberikan kepada pemimpin yang mempunyai disiplin diri dan berpegang kepada kebenaran.

“Kita perlu bercakap mengikut kewarasan untuk jadi pemimpin. Baru sikit dah melatah macam ini. Saya tak hormat orang macam ini,” ujarnya.

Sebuah akhbar hari ini melaporkan Raja Ropiah berkata, Rafidah tidak pernah berbincang dengan Exco pergerakan itu sebelum mengumumkan pelan peralihan kuasa di antara beliau dengan Shahrizat pada Jun 2009.

Katanya, beberapa Exco Wanita mendakwa Rafidah membuat pengumuman mengejut di depan Perdana Menteri pada satu majlis rasmi Wanita pada satu majlis Wanita pada 4 Ogos lalu tetapi terpaksa akur kerana dilakukan di depan Perdana Menteri

Badan pemantau pelan peralihan

Menurut Seripah, satu jawatankuasa pemantau telah dilantik oleh Rafidah dan Shahrizat untuk memastikan pencalonan bagi jawatan ketua dan naib ketua diperingkat bahagian berjalan dengan lancar.

Jelas beliau, dia dan Raja Ropiah telah dilantik sebagai pemantau untuk memastikan pelan peralihan tersebut berjalan lancar.

“Yang saya lebih pelik, orang yang membuat dakwaan tiada perbincangan dibuat telah dilantik sebagai pemantau agar pelan peralihan kuasa ini berjalan lancar.

“Ia (badan pemantau) ini dibuat kerana kami ada terima laporan menyatakan ada gerakan yang mahu menggagalkan pelan tersebut,” katanya.

Kenyataan Seripah itu, turut disokong oleh Rozaidah.

Menurut Rozaidah, dia dan beberapa ketua wanita bahagian yang lain turut dihubungi oleh ‘orang-orang’ tertentu untuk mencalonkan Shahrizat.

“Saya harap ‘orang-orang’ kanan Shahrizat hentikan sandiwara ini. Saya tahu memang ada gerakan untuk meletakkan Shahrizat sebagai Ketua Wanita dan perkara ini telah bermula sebelum Tan Sri Rafidah mengumumkan pelan peralihan itu lagi,” katanya.

Artikel Berikut

54201 pengedar dadah tahun ini

Artikel Lain