suria

Dr Mahathir Jangan jadikan fatwa yoga sebagai isu agama

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menggesa pihak tertentu supaya tidak menjadikan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang melarang umat Islam daripada mengamalkan yoga sebagai isu agama.

"Jika mereka (Majlis Fatwa Kebangsaan) percaya ianya salah, jadi ianya salah. Malanglah jika orang lain fikir keputusan itu mencela agama mereka.

"Ia sama lah seperti kita kata orang Islam tidak boleh makan babi, ia bukan menghina orang Cina. Dan ia adalah sama bila orang Islam tidak boleh melakukan yoga. Ia bukan kerana mereka menghina orang Hindu.

"Mereka tidak patut buat begitu. Sama ada orang Melayu ikut atau tidak, itu hal mereka, orang lain tidak boleh jadikannya sebagai isu agama. Seperti perkara lain yang dilarang di dalam Islam, ia bukan menghina orang lain. Tetapi ada orang yang mahu menjadikannya sebagai isu. Saya kesal.

"Saya sendiri tidak peduli jika anda berdiri di atas kepala atau berdiri di atas kaki anda. Ia bukanlah sematamata jika anda mengamalkan yoga, anda tiba-tiba menjadi orang bukan Islam," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada persidangan Antarabangsa Pertama 2008 mengenai Bahasa dan Linguistik anjuran Universiti Islam Antarabangsa di sini hari ini.

Minggu lepas, Majlis Fatwa Kebangsaan melarang umat Islam mengamalkan yoga kerana ia bertentangan dengan agama.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata beliau tetap dengan pendirian untuk mendedahkan nama-nama pemimpin Umno yang terbabit dalam politik wang menjelang perhimpunan parti Mac tahun depan.

"Saya perlu memastikan sebelum meletakkannya (nama-nama pemimpin) dalam senarai itu. Jika saya ada bukti dan Umno tidak mengambil sebarang tindakan saya akan letakkan (nama-nama itu) dalam senarai.

"Saya memberi tempoh dua minggu kepada Jawatankuasa Disiplin (Umno) dan berharap mereka akan mengambil tindakan dalam tempoh itu," katanya.

Ketika ditanya mengenai kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa politik wang juga berlaku semasa Dr Mahathir menjadi Presiden Umno, Dr Mahathir berkata:

"Rasuah berlaku dalam zaman saya dan saya sentiasa mengaku mengenai perkara itu tetapi bukan dalam skala yang anda lihat sekarang."

Sementara itu, dalam ucaptamanya Dr Mahathir berkata kebimbangan sesetengah pihak berhubung pembelajaran dan penggunaan Bahasa Inggeris boleh menghakis Bahasa Malaysia adalah tidak berasas.

Dr Mahathir berkata beliau dikritik oleh nasionalis kerana mahukan kerajaan meneruskan penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik tetapi bahasa Inggeris adalah satu-satunya bahasa di mana rakyat Malaysia boleh menimba ilmu dalam keduadua subjek itu.

"Sebelum saya meletak jawatan sebagai Perdana Menteri saya perkenal sistem itu kerana saya berasa ia adalah perlu bagi kita untuk menimba ilmu pengetahuan. Jika anda ingin terjemah semua kerja Sains dan Matematik ke dalam bahasa Malaysia, ia akan mengambil masa yang panjang dan kita akan ketinggalan. Tetapi sejak kebelakangan ini, ada perdebatan mengenainya bahawa kita perlu kembali kepada sistem lama menggunakan Bahasa Malaysia untuk mengajar dan belajar Sains dan Matematik.

"Kementerian Pelajaran akan memutuskan perkara itu tidak lama lagi. Ada kebaikan dan keburukan mengenainya dan saya agak bimbang mengenainya. Orang kita patut tahu bagaimana untuk membaca, menulis dan bercakap bahasa Kebangsaan tetapi pada masa yang sama untuk menimba ilmu pengetahuan mereka patut menggunakan bahasa Inggeris," katanya.

Katanya jumlah ilmu pengetahuan baru adalah "pantas dan hebat" dan rakyat Malaysia perlu merebut ilmu pengetahuan yang kebanyakannya di dalam bahasa Inggeris.

"Saya harap dapat menghalang kerajaan daripada berpatah balik menggunakan Bahasa Malaysia untuk mengajar Matematik dan Sains tetapi saya tidak lagi memegang kuasa. Saya terpaksa menerima apa juga yang diputuskan walaupun ia mungkin tidak baik untuk negara ini," katanya.

Katanya kekurangan guru untuk mengajar keduadua subjek itu di dalam Bahasa Inggeris tidak boleh dijadikan alasan kerana ia boleh digantikan dengan perisian komputer. BERNAMA

Artikel Berikut

54201 pengedar dadah tahun ini

Artikel Lain