suria

Pengarah syarikat didakwa beli komputer guna cek palsu

KUALA LUMPUR: Seorang wanita pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tiga pertuduhan menggunakan cek palsu untuk membeli komputer dan peralatan syarikat bernilai RM50,640 bulan lepas.

Mercy Sumathi Christie, 39, dari Taman Kepong Baru di sini, didakwa melakukan ketiga-tiga kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Langgak Golf di sini antara 14 Okt 2008 dan 21 Oktober 2008.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa bersamasama seorang lagi yang masih bebas, pada 14 Oktober menipu seorang pengarah syarikat, V. Kodivelu, 29, dengan memperdayakannya bahawa sekeping cek miliknya yang bernilai RM14,400 boleh dilunaskan hingga menyebabkan Kodivelu menyerahkan komputer dan peralatannya pada harga tersebut.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga di tempat dan melalui proses yang serupa, dia didakwa bersamasama seorang lagi yang masih bebas, menipu Kodivelu masingmasingnya pada 18 Oktober dan 21 Oktober dengan memperdayakannya bahawa sekeping cek miliknya yang bernilai RM20,980 dan satu lagi bernilai RM 15,260 boleh dilunaskan hingga menyebabkan Kodivelu menyerahkan komputer dan peralatannya pada harga tersebut.

Christie didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda.

Hakim Rozana Ali Yusoff membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dan menetapkan 16 Disember ini untuk sebutan semula kes.BERNAMA

Artikel Lain