suria

Pelacuran masih gagal dihapuskan

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Chor Chee Heung berkata meskipun polis dan pihak berkuasa berterusan mengadakan operasi bagi menangani masalah pelacuran, kegiatan tidak bermoral itu sukar dihapuskan.

"Polis dan pihak penguatkuasaan tak hentihenti mengadakan operasi iaitu berjumlah 8,893 operasi dan serbuan sejak tahun 2003 hingga kini.

"Sebab kita tahu Malaysia sebuah negara yang mewah dan progresif di mana begitu ramai pelancong asing sentiasa mengunjungi negara ini, maka masalah ini (pelacuran) bukan begitu senang dihapuskan," katanya menjawab soalan Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Chor berkata kerajaan mungkin mengkaji semula dan mengemaskini akta sedia ada termasuk mengadakan peruntukan tambahan dalam Kanun Keseksaan untuk mengangani masalah pelacuran.

Setakat ini, katanya kerajaan masih dapat mengawal kegiatan pelacuran daripada berleluasa melalui undangundang sedia ada.

Chor berkata sejumlah 7,361 wanita terlibat dalam pelacuran ditangkap melalui Operasi Noda sejak 2003 hingga tahun ini.

Daripada jumlah itu sejumlah 6,357 adalah warga asing dan selebihnya wanita tempatan manakala 442 daripadanya merupakan gadis bawah umur.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Noriah Kasnon berkata kementeriannya ada menyediakan program pembangunan kapasiti kepada golongan "mak nyah" yang insaf dan ingin kembali ke pangkal jalan.

"Dalam program Wanita dan Ibu Tunggal, latihan yang diberikan adalah termasuk kemahiran dalam bidang jahitan, kraftangan, pelancongan, bakeri dan terapi kecantikan.

"Menerusi pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi, golongan itu boleh menceburkan diri dalam pasaran pekerjaan atau memulakan usaha niaga sendiri," katanya menjawab soalan Dr Lo' Lo' Mohamad Ghazali (PAS-Titiwangsa) yang ingin tahu antara bentuk bantuan yang diberikan kepada pekerja khidmat teman sosial dan "mak nyah" oleh kerajaan. BERNAMA

Artikel Lain