suria

Nazri tidak perlu dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini memutuskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang didakwa mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan berhubung status keenam-enam hakim yang menerima bayaran ex-gratia, tidak perlu dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

Keputusan itu dibuat oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mendapati kenyataan yang dbuat oleh ahli Parlimen Padang Rengas itu tidak berniat untuk mengelirukan Dewan.

"Saya putuskan sewaktu Yang Berhormat Menteri membuat kenyataan yang kononnya mengelirukan itu sebenarnya tidak tahu bahawa kenyataan yang dibuat itu tidak benar dan beliau tidak ada niat sama sekali untuk mengelirukan Dewan," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Pada 6 November lalu, Nazri ketika mengumumkan pembayaran ex-gratia berjumlah RM10.5 juta kepada bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas dan lima hakim kanan yang terlibat dalam krisis kehakiman 20 tahun lepas, beliau berkata bekas-bekas hakim itu bukannya dipecat tetapi telah ditamatkan perkhidmatan lebih awal seperti disarankan oleh satu panel.

Hal itu menyebabkan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) pada 10 November lalu meminta supaya Nazri dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana mendakwa kenyataan menteri itu adalah satu pembohongan besar.

Bagaimanapun pada 13 November lalu, Nazri membuat pengakuan terbuka melalui media dan mengakui kesilapannya berhubung kenyataannya sebelum ini dan mengakui bahawa sebenarnya kesemua hakim berkenaan dipecat namun tetap menerima bayaran pencen atas permintaan Yang di-Pertuan Agong ketika itu melalui satu surat kepada Ketua Setiausaha Negara tanpa didedahkan.

Wan Junaidi memaklumkan bahawa tiga syarat perlu dipenuhi jika ingin merujuk mana-mana ahli Dewan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan selaras dengan peruntukan di bawah Peraturan Mesyuarat 36(12).

"Pertamanya kenyataan dibuat yang kononnya mengelirukan itu hendaklah sebenarnya mengelirukan, keduanya ahli yang buat kenyataan yang kononnya mengelirukan itu tahu atau sedar bahawa kenyataan yg sedang dihujahnya itu adalah tidak benar.

"Dan yang ketiganya sewaktu membuat kenyataan yang kononnya mengelirukan itu, Yang Berhormat berkenaan sebenarnya berniat untuk mengelirukan Majlis atau Dewan," katanya.

Oleh yang demikian, menurut Wan Junaidi apabila Nazri membuat kenyataan terbuka melalui media bagi memperbetulkan kenyataan awalnya, maka syarat yang kedua dan ketiga itu tidak dapat dipenuhi.

Sementara itu, Nazri yang mengadakan sidang media di Lobi Parlimen hari ini berkata, isu supaya beliau mengemukakan permohonan maaf di dalam Dewan Rakyat hanya 'dicipta' oleh Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor).

"Dari awal isunya ialah bukan mengenai minta maaf, isu yang sebenarnya ialah membuat kenyataan yang salah yang mana saya telah mengakuinya.

"Isu mengenai minta maaf tidak dibangkitkan langsung, hanya dicipta oleh Karpal Singh," katanya dalam sidang media tersebut.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata demikian bagi mengulas mengenai kekecohan yang berlaku di Dewan Rakyat hari ini apabila Karpal mendesak dan menggesa supaya beliau meminta maaf di dalam Dewan kerana mengeluarkan kenyataan yang dianggap mengelirukan.

Kekecohan mengenai isu permohonan maaf berterusan hingga mengakibatkan Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) digantung daripada menghadiri sidang Parlimen kerana menuduh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berat sebelah apabila memutuskan untuk tidak merujuk Nazri ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen.

Karpal sebelum ini meminta supaya Nazri dirujuk kepada jawatankuasa tersebut kerana mendakwa kenyataan menteri itu adalah satu pembohongan besar apabila mengatakan pembayaran ex-gratia berjumlah RM10.5 juta kepada bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas dan lima hakim kanan yang terlibat dalam krisis kehakiman 20 tahun lepas adalah kerana mereka diarahkan berhenti dan bukannya dipecat.

Bagaimanapun Nazri berkata beliau tidak akan meminta maaf seperti yang diminta kerana merasakan tidak ada keperluan baginya untuk berbuat demikian.

"Minta maaf tak perlu, bagaimanapun saya boleh nyatakan saya kesal kerana kalau apa yang saya sebut di dalam Dewan itu telah berlaku sedikit kesukaran kepada pihak-pihak tertentu...itu sahaja," katanya. Jelas beliau, seseorang itu perlu meminta maaf sekiranya sengaja membuat kenyataan yang mengelirukan.

"Tapi seperti mana yang dijelaskan oleh Speaker, tak ada elemen yang menunjukkan saya sengaja atau berniat tak baik...tak ada.

"Apa yang berlaku ialah kesilapan yang tulen seperti yang Speaker sebutkan iaitu sebenarnya surat itu tidak diketahui oleh rakyat, hanya diketahui oleh Yang di-Pertuan Agong, Ketua Setiausaha Negara dan bahagian pencen," katanya.

Jelasnya lagi, Karpal sebenarnya silap apabila mengatakan beliau membela diri di luar Dewan melalui kenyataan media yang dibuatnya bagi memperbetulkan kenyataannya itu.

"Karpal silap, saya tak bela diri saya di luar (Dewan), saya hanya menjawab soalan wartawan, itu bukan pembelaan...jadi dia silap besar," katanya.

Tambah beliau, meminta maaf bukanlah menjadi satu isu sebaliknya memperbetulkan kesilapan yang telah dibuat menjadi keutamaan baginya.

"Apa yang penting ialah rakyat, apa yang disebut dalam Parlimen akan dilaporkan, jadi apa yang penting ialah jelaskan kepada rakyat, itu lebih penting.

"Sebab itu saya jelaskan kepada media kerana anda adalah kumpulan yang bertanggungjawab untuk laporkan kepada rakyat," katanya.

Ditanya kemungkinan ada pihak yang akan menganggap beliau terlepas daripada tindakan walaupun isu ini telah timbul disebabkan kesilapannya manakala pihak lain yang perlu berhadapan dengan tindakan iaitu digantung, beliau berkata keadaan itu berlaku kerana pihak berkenaan ingkar dengan arahan Speaker.

"Mesti ingat saya tidak pernah bertindak bertentangan dengan Speaker, tapi mereka hadapi masalah sebab mereka bertindak bertentangan dengan Speaker.

"Jangan kelirukan rakyat. Kalau tidak, orang akan mengatakan Padang Rengas menyebabkan pertelingkahan isu ini tapi dia lepas, mereka tak lepas sebab ingkari keputusan Speaker," katanya.

Artikel Lain