suria

Mansuh ISA GMI rancang perhimpunan ala BERSIH sebelum Perhimpunan Agung Umno

KUALA LUMPUR: Setelah gagal mengadakan perhimpunan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) semalam, Gerakan Mansuh ISA (GMI) merancang untuk menganjurkan perhimpunan 'ala BERSIH' sebelum Perhimpunan Agung Umno Mac depan bagi menggesa kerajaan memansuhkan akta tersebut.

Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub berkata, perhimpunan secara besar-besaran itu akan diadakan bagi menunjukkan kesungguhan GMI dan Pakatan Rakyat untuk memansuhkan akta kontroversi itu.

"Usaha kami untuk adakan perhimpunan yang lebih besar 'ala BERSIH' akan tetap diteruskan pertengahan Mac depan sebelum Perhimpunan Agung Umno.

"Perhimpuan besar ini untuk kita minta ISA dihapuskan sama sekali, itu satu tindakan serius yang akan kita buat," katanya yang ditemui di lobi Parlimen semalam.

Beliau yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, signifikasi penganjuran perhimpunan tersebut yang dijadual sebelum Perhimpunan Agung Umno adalah bertujuan menggesa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib tun Razak yang bakal mengambil alih tampuk kepimpinan kerajaan memberi perhatian serius mengenai desakan rakyat yang mahu ISA dimansuhkan.

"Saya mahu Datuk Seri Najib sebagai seorang bakal Perdana Menteri dengar dan prihatin serta boleh memulakan era baru (kepimpinan) paling tidak pun dengan menyemak semula dan seterusnya dihapuskan...itu harapan saya," katanya.

Dalam perhimpunan tanpa permit yang diadakan di Dataran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) semalam, polis menahan sembilan yang hadir termasuk Salahuddin, Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu, Ketua Pemuda PAS Wilayah Pesekutuan (WP), Kamaruzzaman Mohamad, Ketua Penerangan Pemuda PAS Selangor, Mohd Sany Hamdan, Ketua Unit Amal PAS WP, Saifuddin Abdullah dan empat lagi penyokong yang difahamkan enggan bersurai seperti yang diarahkan polis.

Bagaimanapun kesemua mereka telah dibebaskan dengan jaminan seorang penjamin kira-kira pukul 5 pagi tadi setelah diambil keterangan di bawah Seksyen 112 Kanun Aturcara Jenayah.

Dalam pada itu, beliau turut menyelar tindakan polis yang didakwa bertindak kasar sewaktu menyuraikan perhimpunan tersebut.

"Saya faham permit tidak dikeluarkan, jadi saya datang sekadar untuk beritahu kepada yang hadir supaya mereka bersurai.

"Tiba-tiba tak sampai lima minit, pihak polis datang merempuh kami serta menahan kami dengan begitu kasar sekali dan akhirnya sembilan orang ditangkap termasuk saya dan kami dibawa ke balai Polis Pandan Indah," katanya.

Salahuddin berkata, beliau diminta untuk melapor diri di balai polis yang sama pada 8 Disember depan.

Tambah beliau, kerajaan dilihat begitu risau terutamanya dengan gesaan serius rakyat untuk memansuhkan ISA.

"Mereka (polis) tak berikan permit sebab ini adalah kempen yang begitu serius untuk mansuhkan ISA, mereka tak patut bertindak demikian," katanya.

Artikel Lain