suria

Keputusan kes Raja Petra ke Mahkamah Sesyen Jumaat ini

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini akan membuat keputusan Jumaat ini sama ada ia mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan kes penulis blog, Raja Petra Kamaruddin, yang dituduh memfitnah Datin Seri Rosmah Mansor dan dua orang lagi dalam satu akuan berkanun.

Hakim Mohamad Sekeri Mamat, yang menetapkan tarikh itu selepas mendengar penghujahan kedua-dua pihak hari ini, berkata beliau memerlukan sedikit masa untuk membuat keputusan.

Mahkamah telah menetapkan minggu ini untuk perbicaraan. Pihak pendakwaan telah memberitahu mahkamah mereka sudahpun sedia memanggil saksi pertama.

Bagaimanapun, semalam peguam bela Raja Petra, Manjeet Singh Dhillon, mengemukakan bantahan awal dan memohon perintah Mahkamah Sesyen supaya mengembalikan kes Raja Petra untuk dibicarakan di Mahkamah Majistret dengan alasan bahawa perintah Mahkamah Majistret pada 15 Ogos lepas memindahkan kes itu ke Mahkamah Sesyen ekoran permohonan pihak pendakwaan, adalah tidak sah dan melanggar Seksyen 177 Kanun Acara Jenayah.

Raja Petra dihadapkan ke mahkamah pada 15 Ogos dan didakwa melakukan tiga kesalahan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta pada 10.25 pagi 18 Jun, iaitu selain tuduhan memfitnah isteri Timbalan Perdana Menteri itu, dia juga didakwa memfitnah pemangku Kolonel Abdul Aziz Buyong dan isteri Aziz, Kolonel Norhayati Hassan.

Jika disabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga dua tahun atau didenda, atau kedua-duanya. BERNAMA

Artikel Lain