suria

FAM sahkan dua pemain terbabit rasuah

PETALING JAYA: Dua pemain bola sepak mengaku terbabit dalam kegiatan rasuah pada musim lepas, kata Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Azzuddin Ahmad.

Beliau berkata Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah memaklumkan tentang penglibatan keduadua pemain terbabit kepada FAM namun tindakan mahkamah tidak dapat diambil.

"Walaupun mereka (dua pemain terbabit) telah pun mengaku dan disahkan menerima rasuah daripada "bookie" tetapi buktinya adalah tidak mencukupi," katanya kepada pemberita di Wisma FAM di sini hari ini.

Beliau berkata FAM juga tidak mempunyai peruntukan peraturan dan hukuman yang khusus untuk menghukum mereka.

"Kedua-dua pemain itu bebas untuk bermain di mana-mana pasukan, tapi kita telah memaklumkan kepada persatuan negeri dan ahli gabungan FAM tentang perkara itu," katanya.

Azzuddin berkata walaupun Liga Malaysia 2009 belum bermula tetapi telah wujud tandatanda gejala rasuah di kalangan pemain bola sepak tempatan.

"Terdapat seorang pemain senior telah cuba mempengaruhi beberapa pemain muda untuk terjebak ke dalam gejala itu dan kes ini telah pun diserahkan kepada BPR," katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut tentang perkara itu termasuk mengenai latar belakang pemain terbabit sama ada berada di dalam skuad kebangsaan atau sebaliknya.

Mengulas mengenai kedudukan Jamaluddin Mohd Rodzi yang dilantik sebagai pengurus pasukan oleh Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) dua hari lepas, Azzuddin berkata ia sebenarnya tidak boleh dilakukan.

"Mengikut perlembagaan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) beliau tidak boleh memegang jawatan itu memandangkan kes rasuahnya masih berjalan di mahkamah," katanya.

Jamaluddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi, Pertanian dan Perdagangan Negeri telah disabitkan dengan pertuduhan rasuah.

"Perkara ini akan saya teliti dan rujuk kepada mesyuarat exco FAM bagi tindakan selanjutnya sama ada menasihati PAFA atau sebagainya," kata Azzuddin.

Sementara itu beliau berkata FAM tidak akan membuat permintaan kepada Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) untuk menjadi tuan rumah kejohanan bola sepak Piala Suzuki AFF pada Disember ini.

Beliau berkata FAM menghormati keputusan yang telah dibuat iaitu memilih Indonesia dan Thailand sebagai tuan rumah bersama.

Beliau berkata FAM akan berhubung rapat dengan Wisma Putra berhubung soal keselamatan pasukan kebangsaan untuk beraksi di Thailand berikutan keadaan huruhara di negara itu pada masa sekarang.

Malaysia diletakkan dalam kumpulan B bersama tuan rumah Thailand, Vietnam dan Laos manakala kumpulan A membabitkan Indonesia, Singapura, Myanmar dan Kemboja.

Sebagai persiapan terakhir Malaysia akan menentang Singapura pada perlawanan persahabatan yang dijadualkan Sabtu ini di Stadium Majlis Badaraya Petaling Jaya. BERNAMA

Artikel Lain