suria

Caj 1 peratus PTPTN berkuatkuasa 1 Jan tahun depan

KUALA LUMPUR: Pengenaan caj satu peratus terhadap peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hanya akan mula dilaksanakana pada 1 Jan tahun depan dan bukan 1 Jun tahun ini seperti yang diumumkan sebelum ini, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Khaled Nordin.

Beliau berkata, penundaan tarikh penguatkuasaan itu adalah disebabkan beberapa perkara yang perlu diteliti dan diselesaikan oleh PTPTN termasuk proses dokumentasi.

"Kita telah menyatakan ia (caj) bermula 1 Jun tahun ini tetapi memandangkan ada beberapa perkara yang perlu diteliti dari segi dokumentasi, penerimaan dan sebagainya, maka pelaksanaan itu ialah pada 1 Jan depan," katanya.

Ogos lepas, kerajaan mengumumkan pengurangan caj PTPTN kepada satu peratus bagi semua pelajar universiti berkuatkuasa Jun tahun ini.

Sebelum ini, caj perkhidmatan PTPTN yang dikenakan terhadap penuntut peringkat siswazah ialah sebanyak tiga peratus manakala pasca siswazah pula lima peratus. Khaled berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara PTPTN dan Maybank sebagai ejen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) di sini hari ini.

Perjanjian hari ini membolehkan pemegang akaun Maybank menabung ke dalam PTPTN melalui lima saluran perbankan Maybank iaitu mesin ATM, mesin deposit tunai, Maybank2u.com, Kawanku phone banking dan perkhidmatan kaunter.

SSPN mula diperkenalkan pada Ogos 2004 dan ia terbuka kepada semua warga Malaysia dengan pemohon boleh membuka akaun SSPN mereka serendah hanya RM20.

Khaled berkata jumlah deposit SSPN dari Februari 2007 hingga 31 Oktober lalu berjumlah RM165.37 juta dengan melibatkan pembukaan akaun seramai 573,880 orang. BERNAMA

Artikel Lain