Selangor benar perhimpunan tertutup 15 minit masa berarak - Semasa | mStar

Selangor benar perhimpunan tertutup 15 minit masa berarak

KUALA LUMPUR: Polis Selangor tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap penganjuran mana-mana perhimpunan atau perjumpaan jika ia diadakan di tempat-tempat tertutup.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memaklumkan mengenai perkara tersebut setelah mendapat persetujuan daripada Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar.

"Kita memberikan notis kepada polis dan polis telah bersetuju dengan kerajaan negeri jika perjumpaan itu diadakan dalam dewan.

"Maknanya diadakan dalam dewan orang ramai dan sebagainya, ada ucapan, perbincangan...polis tak akan ambil tindakan apa-apa," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Bagaimanapun menurut beliau, adalah lebih baik jika sesuatu perhimpunan yang akan diadakan dimaklumkan kepada pihak polis untuk langkah keselamatan.

"Ada baiknya kita buat permohonan pada pihak polis untuk nyatakan program-program yang akan diadakan," katanya.

Selain itu, beliau berkata beberapa garis panduan mengenai sesuatu penganjuran itu perlu dipatuhi terutamanya jika penganjur tetap berkeinginan untuk mengadakan perarakan di luar dewan.

"Jika tetap ada keinginan untuk tunjukkan kepada rakyat mengenai usaha (perhimpunan) ini, ia mesti dilakukan seberapa segera supaya tidak menjadi halangan kepada orang lain untuk jalankan tugas-tugas mereka.

"Kalau ada pun nak tunjukkan perasaan, adalah dicadangkan (seperti yang dipersetujui) keluar dewan tak lebih 15 minit, lepas itu masuk semula dalam dewan dan teruskan program syarahan, perbincangan dan sebagainya," katanya.

Ditanya mungkin wujudnya proses pilih kasih dalam urusan pemberian permit kepada penganjur-penganjur tertentu, beliau berkata perkara itu perlu diberi perhatian yang sewajarnya oleh Ketua Polis Selangor.

"Saya harap Ketua Polis Selangor akan buat cadangan ini kepada semua, bukan sahaja kepada PAS, DAP tapi juga kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), UMNO, MCA dan sebagainya.

"Mereka juga di Selangor mesti jalankan dengan cara yang telah kita cadangkan," katanya.

Artikel Sebelum

Saravanan sedia tanding timbalan presiden MIC

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

"Kami sudah beri yang terbaik" - Aidil