suria

Rashid Saya sanggup ke penjara jika bukti daftar pengundi hantu

PUTRAJAYA: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman mengulangi keperluan mempunyai daftar pemilih baru lagi bersih, yang boleh diterima pakai oleh pelbagai pihak.

Sambil menekankan bahawa daftar pemilih semasa berusia 50 tahun, dokumen asal yang digunakan sejak negara merdeka, Ab. Rashid berkata, pendaftaran baru perlu untuk memastikan senarai pemilih yang bersih dan bebas daripada dakwaan-dakwaan yang dibuat oleh sesetengah pihak.

Bagaimanapun beliau mengakui usaha tersebut memerlukan peruntukan kewangan kira-kira RM40 juta.

"Ia seperti mengadakan bancian kebangsaan, memerlukan wang sebanyak RM40 juta," kata beliau ketika ditemui di pejabatnya di sini Rabu lalu.

IKUTI TEMU BUAL PENUH DI RUANGAN RENCANA

Ab. Rashid pernah mengemukakan pandangan ini dalam temu bual dengan mStar Online Mei lalu.

Ketika itu beliau mengesyorkan supaya satu pendaftaran semula diadakan bagi menyediakan daftar pemilih yang baru lagi bersih selari dengan keperluan semasa.

Dalam pertemuan kali ini, beliau berkata, SPR juga memerlukan kuasa untuk mengadakan daftar pemilih baru dari semasa ke semasa.

"Ini sebabnya SPR memerlukan lebih banyak kuasa. Jika anda mengundi di mana anda tinggal, kami boleh mendaftar pemilih dalam tempoh enam bulan sebelum pilihan raya.

"Ia akan menyediakan daftar pemilih yang bersih dan kemas. Daftar pemilih yang kita ada sekarang berusia 50 tahun," katanya.

Sambil menekankan bahawa ia memang praktikal untuk dilakukan, beliau berkata, "masalanya ialah kita tidak tahu bila pilihan raya akan diadakan, cuma boleh membuat andaian."

Bagaimanapun jelas beliau, kebanyakan negara mengamalkan kaedah ini dan mengadakan pendaftaran pemilih setahun sebelum pilihan raya umum.

"Jika ini dilakukan, anda boleh mengeluarkan (nama) mereka yang sudah meninggal dunia dan mereka yang tidak tinggal di kawasan (mengundi). Anda boleh mendaftar dengan pergi dari rumah ke rumah," katanya.

Beliau yang akan mengakhiri tempoh perkhidmatan sebagai Pengerusi SPR hujung bulan depan berkata, banyak pihak mengatakan daftar pemilih semasa sebagai kotor.

"Tetapi sebenarnya tidak. Ia tidak mempunyai pengundi bukan warganegara. Kita tidak boleh memotong mana-mana nama walaupun mereka tidak ditemui ataupun tidak tinggal di satu-satu bahagian yang mereka mendaftar.

"Itu sebabnya ahli-ahli politik melompat ketika pilihan raya apabila mereka pergi dari rumah ke rumah dan tidak menemui mereka (pengundi dalam senarai)," katanya.

Apabila keadaan ini wujud, kata beliau, mereka mendakwa wujud pengundi hantu dan menuding ke arah SPR.

Artikel Sebelum

Artikel Lain