suria

Perhimpunan nyala lilin Polis tunggu arahan Peguam Negara

KUALA LUMPUR: Polis masih menunggu arahan daripada Peguam Negara mengenai sama ada akan mengenakan sebarang pertuduhan terhadap 23 orang yang ditahan dalam perhimpunan nyalaan lilin di Petaling Jaya pada 9 Nov.

Bercakap kepada pemberita selepas melaporkan diri di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya pagi ini, Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kampung Tunku Lau Weng San berkata polis memberitahu mereka bahawa belum ada keputusan yang dibuat berhubung penangkapan mereka ketika mengadakan perhimpunan nyalaan lilin itu. "Kami datang ke sini kira-kira 9 pagi untuk melapor diri memandangkan jaminan polis selama dua minggu berakhir hari ini. Bagaimanapun kami diberitahu jaminan itu tidak akan dilanjutkan memandangkan polis kini menunggu arahan daripada Peguam Negara.

"Anggaplah bahawa kami bebas sekarang sehingga menerima arahan selanjutnya daripada Peguam Negara. Kami berpuas hati dengan tahap profesionalisme polis dalam mengendalikan siasatan mereka berhubung perkara ini," katanya.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan ulasan. Turut hadir hari ini ialah Anggota Exco Kerajaan Selangor Ronnie Liu dan Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua. Pua, Lau dan Liu adalah antara 23 orang yang ditahan ketika perhimpunan nyalaan lilin berhampiran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 9 Nov.

Mereka ditahan mengikut Seksyen 27 Akta Polis kerana didakwa mengambil bahagian dalam perhimpunan haram selepas beberapa amaran supaya bersurai tidak dihiraukan.

Perhimpunan itu, anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), bermula di Dataran PJ berhampiran Amcorp Mall, diadakan antara lain bertujuan membantah penahanan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain