suria

Penunjuk perasaan antikerajaan kepung bangunan Parlimen

BANGKOK: Walaupun ribuan penyokong anti-kerajaan mengepung bangunan Parlimen, ibu pejabat Polis Bangkok dan Kementerian Kewangan dalam perjuangan terakhir untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih, polis dan tentera Thai hanya berkawal dan tidak berdepan dengan penunjuk perasaan.

Para penunjuk perasaan telah dapat menghalang pengubal undangundang daripada menghadiri sesi Parlimen, yang memaksa Speaker Chai Chidchob untuk menangguhkan mesyuarat yang dijangka membincangkan pindaan perlembagaan yang menimbulkan kontroversi dan satu undang-undang berkaitan peraturan perdagangan Asean.

Ratusan penyokong Pakatan Rakyat untuk Demokrasi (PAD) juga menghalang laluan masuk ke ibu pejabat polis metropolitan Bangkok menggunakan bas dan tayar lama manakala bekalan elektrik ke Parlimen dan bangunan polis dipotong.

Tentera polis hanya berdiri dan memerhati penunjuk perasaan, kebanyakan berpakaian kuning dan membawa potret Raja Bhumibol Adulyadej, berarak dari Rumah Kerajaan ke bangunan Parlimen.

Para penunjuk perasaan juga bergerak ke pejabat Parti Chart Thai, satu daripada enam buah parti gabungan kerajaan sementara sejumlah penyokong PAD juga menuju ke lapangan terbang Don Muang yang menempatkan pejabat sementara Perdana Menteri Somchai Wongsawat selepas Rumah Kerajaan, pusat pentadbiran negara diambilalih oleh PAD pada 26 Ogos.

Tetapi, tidak seperti insiden 7 Okt apabila dua orang terbunuh dan lebih 4500 cedera selepas polis menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan penyokong PAD daripada menghalang bangunan Parlimen, keadaan tenang dengan polis dan tentera tidak bertembung dengan penunjuk perasaan.

Bagaimanapun, polis menahan enam lelaki yang dipercayai pengawal PAD selepas mereka merampas sebuah bas sekitar pukul 10 pagi berdekatan kawasan Rumah Kerajaan.

Para pemimpin PAD telah berkata, ia akan menjadi perjuangan terakhir mereka untuk menjatuhkan kerajaan sejak tunjuk perasaan diadakan pada 25 Mei terhadap kerajaan yang terdiri daripada rakan sekutu bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra.

Dengan diketuai jutawan media Sondhi Limthongkul, yang menganjurkan demonstrasi besarbesaran di ibu negara pada 2006, yang membuka jalan kepada Thaksin digulingkan dalam rampasan kuasa tentera, PAD telah menganjurkan tunjuk perasaan di ibu negara sejak 25 Mei.

Perdana Menteri Somchai Wongsawat, adik ipar Thaksin, kini sedang menghadiri sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di Peru.

Ketegangan terus meningkat di ibu negara sejak beberapa minggu kebelakangan ini dengan beberapa siri serangan bom terhadap pendudukan PAD di Rumah Kerajaan, termasuk dengan yang terbaru menyaksikan seorang penunjuk perasaan terbunuh Sabtu lepas. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain