suria

Musa bidas Anwar mainkan isu royal minyak untuk raih sokongan rakyat Sabah

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman membidas tindakan penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terus memainkan isu royalti minyak di Sabah untuk kepentingan politik.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, Musa yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, berkata kerajaan BN Sabah tidak pernah sama sekali mengetepikan kepentingan rakyat Sabah dalam isu itu.

Semasa lawatan ke Sabah minggu lepas, Anwar mempertikaikan kenyataan Musa sebelum ini yang menyatakan perjanjian antara kerajaan negeri dan Persekutuan pada tahun 1976 tidak mempunyai peruntukan untuk semakan semula kadar royalti minyak yang diberikan kepada Sabah.

Anwar dilaporkan berkata perjanjian itu boleh dikaji semula dan beliau memberi jaminan untuk menaikkan kadar royalti minyak kepada Sabah dan Sarawak daripada lima peratus kepada 20 peratus sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

Musa berkata pemimpin Umno dan pemimpin BN Sabah telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan Persekutuan agar kadar royalti ini disemak semula.

"Perkara ini kita suarakan kerana ia merupakan hasrat dan kehendak pemimpin dan rakyat untuk kepentingan negeri Sabah.

"Meskipun jumlah royalti minyak ini masih kekal pada kadar yang lama setakat ini tetapi kita tidak seharusnya melihat dari aspek royalti semata-mata," katanya.

Musa berkata Sabah telah menerima peruntukan yang besar dalam pelbagai program pembangunan kerajaan Persekutuan termasuk peruntukan Rancangan Malaysia Kesembilan sebanyak RM20 bilion, Koridor Pembangunan Sabah (RM2.3 bilion), projek jalan raya berturap menelan belanja berbilionbilion ringgit dan program pembangunan yang lain. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain