suria

Mayat bishop rakyat Malaysia dibawa pulang dari Guatemala Khamis ini

KUALA LUMPUR: Mayat seorang bishop rakyat Malaysia yang mati lemas dalam kejadian bot karam di Tasik Atitlan, Guatemala semalam akan dibawa pulang ke Malaysia Khamis ini untuk disemadikan.

Pentadbir Lutheran Church K. Nirmala berkata mayat Julius D. Paul, 63, seorang bishop di gereja itu akan dibawa pulang ke rumahnya di Petaling Jaya pada Khamis ini.

"Kami belum pasti bila mayat itu akan tiba. Kami sedang menunggu berita daripada pihak gereja yang menguruskan mayat mangsa di sana," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata Julius ke negara itu untuk menghadiri 'Lutheran World Federation Meeting' selama dua minggu sejak 12 November lepas.

"Semalam mesyuarat itu habis awal, jadi dia dan beberapa orang lagi dibawa untuk melawat tasik itu. Pihak kami mendapat berita mengenai kejadian itu tengah hari semalam," katanya.

Julius meninggalkan seorang balu Alice Santa Paul, 59, dua anak lelaki Surenthiran, 32, dan Naveenthiren, 33, serta seorang anak perempuan Lalitha, 29.

Anggota keluarga Julius gagal dihubungi. Dalam kejadian Sabtu lepas, bot yang membawa 15 orang termasuk pelancong terbalik sebelum karam di Tasik Atitlan yang terletak kirakira 170km dari Guatemala City, ibu negara Guatemala.

Dua belas orang terselamat manakala tiga lagi lemas termasuk seorang bishop dari Malaysia. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain