suria

Keputusan fatwa Rujuk Majlis Rajaraja titah Sultan Selangor

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Shah berharap sebarang keputusan fatwa pada masa depan yang menyentuh isu melibatkan masyarakat umum sebaik-baiknya dirujuk kepada Majlis Raja-Raja untuk diperkenankan sebelum diumum.

Menurut baginda ia adalah bagi memastikan supaya kaedah menyalurkan sesuatu keputusan fatwa itu dapat dilaksanakan secara bijaksana bagi mengelak sebarang kekeliruan dan kontroversi.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani hari ini, berhubung keputusan Jawatankuasa Fatwa bagi Majlis Hal Ehwal Agama Islam yang mengharamkan amalan yoga untuk umat Islam, Sultan Selangor menjelaskan bahawa keputusan itu belum berkuatkuasa di Selangor kerana perkara itu belum dibawa ke peringkat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.

Menurut kenyataan itu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang dipengerusikan oleh Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid, akan bersidang membincangkan perkara itu dengan lebih mendalam berkenaan aktiviti senaman yoga di Selangor, dan selepas keputusan muktamad dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, ianya akan disembahkan untuk perkenan baginda.

Ini selaras dengan prosedur yang diperuntukkan oleh Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 berkaitan dengan menerima pakai sesuatu keputusan fatwa. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain