suria

Guan Eng Kerajaan Pulau Pinang tetap pasang papan tanda walaupun disabotaj

PULAU PINANG: Kerajaan negeri tetap meneruskan pemasangan papan tanda pelbagai bahasa di Pulau Pinang walaupun terdapat pihak yang cuba mengsabotaj tindakan itu, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Beliau berkata terdapat pihak yang cuba merosakkan papan tanda yang dipasang di sekitar Lebuh Acheh, pagi semalam.

"Dua papan tanda di Lebuh Acheh dirosakkan dengan cat merah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Katanya, langkah kerajaan meletak papan tanda nama jalan dalam bahasa Inggeris, Tamil, Cina, Arab dan Jawi selain bahasa Melayu adalah sebahagian usaha menarik pelancong asing ke negeri ini.

Pemasangan papan tanda pelbagai bahasa sejak Jumaat lepas menimbulkan kontroversi apabila terdapat pelbagai pihak yang menentangnya.

Mengenai isu kedudukan Georgetown sebagai Tapak Warisan Dunia yang didakwa akan terjejas berikutan pembinaan beberapa bangunan di kawasan itu, Lim berkata berdasarkan penjelasan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pencalonan Pulau Pinang sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco Teng Chang Yeow, kedudukan Pulau Pinang tidak terjejas.

"Jika UNESCO sedar dan telah dimaklumkan mengenai pembangunan di kawasan itu bermakna kita tidak melanggar syarat itu," katanya.

Kelmarin, Teng berkata pembinaan tiga projek bangunan tinggi di sekitar tapak warisan dunia di Pulau Pinang iaitu Hotel Rice Miller Boutique, Hotel Boustead Royale Bintang dan kerja pembesaran Hotel E&O, tidak akan menjejaskan kedudukan Georgetown dalam senarai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan dan Alam Sekitar Pulau Pinang itu berkata kelulusan pembinaan ketigatiga bangunan berkenaan dimaklumkan kepada Unesco semasa permohonan menyenaraikan bandar raya itu dibuat oleh kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) pada tahun lepas. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain