suria

Fatwa yoga MB Selangor minta nasihat MAIS

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor akan mendapatkan nasihat lanjut Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengenai kaedah perlaksanaan dan pemantauan terhadap pengharaman senaman yoga seperti yang diumumkan Majlis Fatwa Kebangsaan Sabtu lalu.

Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Irahim berkata pihaknya kini sedang mendapatkan penjelasan terperinci daripada majlis agama Islam negeri itu mengenai fatwa terbaru itu.

"Kita akan dapatkan nasihat MAIS tentang bagaimana cara yang boleh kita lakukan untuk kita jalankan (laksanakan).

"Biasanya fatwa akan disalurkan melalui majlis agama Islam negeri, jadi kita akan berpandukan nasihat yang diberikan," katanya di lobi Parlimen hari ini.

Menurut beliau, fatwa pengharaman yoga perlu difahamkan terutamanya mengenai aspek yang didapati Majlis Fatwa Kebangsaan bertentangan dengan agama Islam.

"Saya difahamkan mereka telah membuat kajian yang begitu lama dan kita perlu menghormati kajian tersebut dan memahaminya.

"Saya tak boleh beri pendapat sehingga saya mengetahui (dengan lanjut) kajian yang telah dibuat," katanya.

Majlis Fatwa Kebangsaan melarang umat Islam negara ini mengamalkan senaman yoga yang didapati mengandungi unsur-unsur keagamaan, mentera dan pemujaan yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Ditanya sama ada pengharaman senaman yoga tersebut akan memberi kesan terhadap masyarakat secara keseluruhannya, beliau berkata perkara itu hanya melibatkan penganut agama Islam.

"Perkara ini hanya melibatkan kepentingan orang Islam, tidak kepada semua masyarakat.

"Umat Islam perlu menerima nasihat yang dikeluarkan oleh majlis fatwa ini," katanya.

Dalam pada itu, ditanya tindakan kerajaan negeri Selangor bagi menangani masalah pengkid yang wujud di negeri itu, beliau berkata pendekatan yang sesuai menghadapi situasi berkenaan ialah melalui khidmat nasihat.

"Apa yang terbaik ialah melalui nasihat berbanding mengharamkannya, mengharamkan bukan kaedah terbaik untuk atasi masalah seperti ini iaitu yang berkaitan dengan soal peribadi dan masalah sosial," katanya.

Tambah beliau, pihak sekolah dan semua institusi yang berkaitan perlu memainkan peranan dengan memberikan nasihat dan memberi panduan yang bersesuiaan dengan budaya masyarakat.

Artikel Sebelum

Artikel Lain