suria

Pengawal keselamatan mati dicampak dekat lebuh raya

SUBANG JAYA: Seorang pengawal keselamatan ditemui mati dengan kesan tikaman pada perut di Jalan Puchong, dekat KM 42.9 Lebuhraya Kesas arah menuju ke Klang awal pagi ini.

Dalam kejadian kirakira 2.30 pagi itu, T. Mahanraj, 22, dipercayai ditikam di lokasi lain sebelum dicampak keluar daripada sebuah kereta yang bergerak sehingga menyebabkan kecederaan parah pada badan dan kepalanya.

Ketua Polis Daerah Subang, Zainal Rashid Abu Bakar ketika dihubungi berkata mangsa mati di tempat kejadian selepas mengalami pendarahan teruk akibat tikaman pada perut dan kecederaan akibat dicampak.

Tiga lelaki berusia lewat 20an, ditahan beberapa jam selepas kejadian bagi membantu siasatan polis.

"Siasatan awal mendapati mangsa ditikam di tempat lain sebelum mangsa dibawa ke Jalan Puchong dan dicampak keluar. Polis percaya pembunuhan ini dilakukan oleh lebih daripada seorang suspek.

"Kami juga telah mengambil keterangan daripada orang ramai yang melihat kejadian itu dan tiada senjata yang ditemui berhampiran tempat kejadian. Motif pembunuhan masih disiasat," katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat. BERNAMA

Artikel Lain