suria

Najib Para pemimpin setuju keluarkan ekonomi global dari kemelesetan

LIMA: Para pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) bersetuju dengan saranan Malaysia supaya menyelaraskan pakej rangsangan fiskal anggota ekonomi masingmasing untuk meningkatkan perbelanjaan dalam usaha mengeluarkan ekonomi global dari kemelesetan yang melumpuhkan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata Sabtu bahawa ekonomi Asia Pasifik perlu meningkatkan kecairan dan pinjaman kepada para pengguna untuk merangsang perdagangan dan pelaburan.

"Para pemimpin Apec telah memutuskan bahawa rangsangan fiskal di dalam bentuk satu bajet pengembangan perlu dilaksanakan untuk menyelamatkan dunia dari terjerumus ke dalam kemelesetan," kata Najib kepada media Malaysia selepas berakhir hari pertama sidang kemuncak dua hari para pemimpin tersebut.

"Kita mesti memulihkan keyakinan di dalam ekonomi kita," katanya.

Ini merupakan kali pertama para pemimpin Apec mengkhususkan keseluruhan hari pertama sidang kemuncak dua hari yang dihoskan oleh Presiden Peru Alan Garcia di Pusat Konvensyen Kementerian Pertahanan untuk membincangkan mengenai krisis ekonomi global.

Najib berkata ekonomi Apec dan bukan Apec perlu menyepadukan tindakan masing-masing untuk mengekang ekonomi global dari terjerumus ke dalam kemelesetan.

"Mereka tidak boleh mengambil sikap sambil lewa, mereka mesti mengambil langkah pengembangan untuk menyelamatkan dunia."

Katanya setiap negara perlu melaksanakan tindakan rangsangan fiskal bagi menyelaraskan dan menetapkan jumlah suntikan yang diperlukan.

Pada masa ini, apa yang telah diputuskan ialah rancangan rangsangan fiskal perlu ditetapkan berasaskan keperluan global.

Antara negara yang telah mengambil inisiatif pakej rangsangan komprehensif ialah China yang melaksanakan satu pakej bernilai AS$750 bilion, tetapi kredit dari AS600 bilion yang dicadangkan oleh Amerika Syarikat sangat perlahan dilaksanakan.

Bagi institusi Bretton Woods seperti Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia, kata Najib mereka perlu memainkan peranan menyediakan kecairan melalui modal jangka pendek kepada negara tertentu yang berhadapan masalah imbangan pembayaran.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata agensi sedemikian perlu menetapkan jumlah suntikan yang diperlukan untuk merangsang aktiviti ekonomi di negaranegara yang bergelut dengan kemelesetan.

Dalam hubungan ini, katanya para pemimpin kini melihat keperluan satu arkitektur kewangan global yang baru atau Bretton Woods ll yang bermakna IMF dan Bank Dunia kini perlu mengubah diri masingmasing dengan mengambil kira dinamik ekonomi global.

Keseluruhan pemikiran IMF kini tidak boleh diterima lagi, katanya.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas perbincangan hari pertama, para pemimpin Apec berkata mereka akan menyokong agensi kredit eksport, institusi kewangan antarabangsa dan bank swasta dan termasuk perusahaan kecil dan sederhana.

"Ini akan memastikan perdagangan dan pelaburan mengalir di rantau ini," kata para pemimpin yang mewakili 21 buah ekonomi itu.

Najib berkata para pemimpin itu turut bersetuju sekarang bukanlah masa bagi ekonomi berkenaan untuk mengambil sikap perlindungan tetapi opsyen yang lebih baik ialah dengan mengambil pnerimaan ekonomi yang lebih terbuka yang akan menyokong dasar pengembangan.

Beliau berkata dialog antara pemimpuin Apec telah diadakan dalam suasana yang terbuka dan positif kerana mereka mempunyai komitmen yang tinggi dalam menunjukkan kepimpinan Apec dalam usaha menangani krisis kewangan dunia.

Katanya mereka juga bersetuju bahawa Apec perlu mengambil tindakan yang berkesan kerana kurangnya keyakinan terhadap sistem kewangan global.

"Keadaan ini boleh menyebabkan mereka yang mempunyai kemampuan pun tak akan membuat sesuatu kerana bimbang tentang pinjaman kepada pelanggan dan sebagainya," katanya.

Sidang kemuncak ini juga bertegas dalam menetapkan bahawa segala usaha supaya rundingan agenda pembangunan Doha di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia yang masih tergantung dapat dimuktamadkan pada Disember ini.

Dalam sidang kemuncak tersebut, Najib juga berkata bahawa perubahan kepada arkitektur kewangan global ini adalah satu yang telah disarankan oleh Malaysia 10 tahun dahulu selepas Krisis Kewangan Asia 1997/98.

Jadi, oleh kerana arkitektur kewangan global ini tidak dibuat perubahan terutama sekali dari segi fungsi kawal selianya untuk mengawal selia produk kewangan derivatif seperti swap kredit hutang dan sebagainya menyebabkan lebihan yang keterlaluan dalam sistem kewangan dunia ini, yang merupakan punca kepada krisis yang berlaku pada masa kini, katanya.

Ini termasuk masalah seperti pinjaman yang berlebihan, masalah derivatif, pasaran gadaian subprima, yang tidak dikawal dengan begitu rapi adalah punca krisi kewangan dunia.

Beliau berkata kelemahan besar sistem Bretton Woods ini ialah kerana ia tidak mampu untuk mengawal segala perkembangan dalam sistem kewangan, terutama sekali dari segi wujudnya derivatif dan produk kewangan yang baru dan yang tidak dikawal, umpamanya swap kredit mungkir yang berjumlah beberapa trilion dolar Amerika.

"Tidak diketahui banyak mana yang sebenarnya yang telah diurus niaga setakat ini," katanya.

Sidang kemuncak Apec akan berakhir esok di mana para pemimpin dijangka mengeluarkan Deklarasi Lima. BERNAMA

Artikel Lain