suria

Raja Nazrin Pandangan Islam monopoli agama lain adalah mengelirukan

KUALA LUMPUR:Pandangan bahawa Islam memonopoli mana-mana budaya, negara, wilayah dan benua, ia bukan sahaja ketinggalan zaman tetapi mengelirukan, titah Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah.

Menurut baginda kemunculan Islam di peringkat global adalah sebagai kepercayaan universal dan ia sebenarnya hanya dapat difahami di dalam kerangka berkenaan.

"Terdapat keperluan untuk mengiktiraf bahawa Islam bukan hanya mengenai amalan ritual dan peraturan yang diterjemahkan dalam hujah yang bersifat keundangan yang sempit. Secara praktiknya ia merangkumi pelbagai aspek kehidupan manusia yang berhubung kait dengan proses-proses masa dan juga spiritual.

"Oleh itu, pengajian Islam, akan menghadapi kekangan yang teruk dan terbatas, jika ia tidak cuba menangani masalah dalam kehidupan ini tambahan pula dalam urusan di alam baqa, titah baginda semasa merasmikan persidangan antarabangsa Mengenai Ruang Lingkup Baru Untuk Pengajian Islam: Cendekiawan Islam Merentasi Budaya dan Benua di sini hari ini.

Raja Dr Nazrin Shah berkata dari mula lagi, itulah yang sepatutnya terjadi dalam pengajian Islam dan sebenarnya ia adalah berkaitan dengan pendekatan dan sikap yang membawa kepada berkembangnya bidang pengetahuan dalam zaman-zaman kegemilangan tamadun awal Islam.

Raja Dr Nazrin Shah bertitah pencapaian umat Islam yang lepas dalam bidang sains, seni arkitek, matematik, perubatan, astronomi, kesusasteraan, sejarah, kesenian dan kaligrafi tidak mungkin tercapai tanpa kerangka konsepsi pengetahuan.

Baginda yang juga Pro Canselor Universiti Malaya berkata sementara teks klasik seperti Al-Quran, Hadith dan Ijmak Ulama dan subjek seperti ilmu hukum Islam, Syariah, Usuluddin dan Tafsir akan tetap tidak boleh dikurangkan sebagai asas pengajian Islam, alat dan metodologi yang digunakan dan rujukan yang diambil perlu ditingkat dan dikemaskini secara berterusan.

"Begitu juga, adalah perlu untuk cuba memahami ruang perbezaan dan konteks kronologi mengenai perkembangan Islam dalam usaha untuk memahami keunikannya," titah baginda.

Merujuk perkara itu dengan perkembangan di Malaysia, Raja Dr Nazrin Shah bertitah pengajian Islam bukan perkara baru di negara ini dan ia sama dengan usia sejarah keIslaman di rantau ini.

"Tetapi apa yang mungkin baru adalah cubaan tetapi bukan secara eksklusif oleh kerajaan untuk mengkaji dan memperbaharui pengajian Islam bagi menjadikannya lebih relevan kepada keperluan masa kini tanpa menjejaskan tujuan sebenar," titah baginda.

PANDANGAN BAHAWA ISLAM MONOPOLI 3 Baginda bertitah Malaysia sudah diiktiraf sebagai contoh negara Islam moden, progresif dan sederhana dan telah membuktikan bahawa kemajuan dalam bidang ekonomi dan teknologi tidak bertentangan dengan ajaran Islam. "Oleh itu, Malaysia boleh menjadi suara dalam perdebatan di peringkat global, membantu untuk memperbetul ketidakfahaman di antara agama yang boleh mengancam dunia ini," titah baginda. Raja Dr Nazrin Shah bertitah sejak kebelakangan ini Islam dan umat Islam sentiasa diperhatikan oleh masyarakat di seluruh dunia manakala di kalangan orang bukan Islam, seperti ada keinginan untuk mempelajari lebih mendalam mengenai agama itu. Minat itu digerakkan bukan sahaja oleh sifat ingin tahu secara intelek tetapi juga kerana pengiktirafan bahawa Islam membentuk satu kekuatan dinamik dalam orde dunia kontemporari, titah baginda. Hasilnya, titah baginda, penerbitan mengenai subjeksubjek berkaitan Islam telah meningkat secara luar biasa dan sebagai contoh penerbitan AlQuran dan terjemahannya kepada pelbagai bahasa telah menyaksikan peningkatan mendadak.

"Di Jepun sendiri, saya difahamkan tidak kurang daripada tujuh versi terjemahan Al-Quran.

Pusat penyelidikan, institusi dan projek yang memfokuskan mengenai Islam, tumbuh seperti cendawan," titah baginda.

Pengajian Islam telah menjadi kursus yang popular di universiti dan kolej di seluruh dunia. Banyak kolej dan universiti Islam juga telah ditubuhkan termasuk di negara bukan Islam, titah baginda.

Persidangan itu dianjurkan Institut Kemanusiaan Kebangsaan Jepun (NIHU) dengan kerjasama Institut AsiaEropah, Universiti Malaya (UM).

Turut hadir Naib Canselor UM Prof Datuk Dr Ghauth Jasmon, Ketua Pengarah NIHU Prof Sato Tsugitaka dan Duta Jepun ke Malaysia Horie Masahiko.

Persidangan tiga hari itu disertai 200 peserta dari 20 buah negara yang mewakili lebih daripada 60 universiti dan institusi penyelidikan di seluruh dunia. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain