suria

Ong Ka Chuan masih dalam barisan Kabinet PM

PUTRAJAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata Datuk Seri Ong Ka Chuan masih lagi di dalam barisan Kabinet dan memegang jawatan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Perdana Menteri berkata beliau belum menerima surat berhubung peletakan jawatan itu. Katanya Ka Chuan turut hadir di dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh beliau semalam.

"Belum dapat terima lagi surat itu (surat perletakan jawatan), beliau pergi ke mesyuarat Kabinet (hari ini)," katanya selepas majlis pecah tanah projek Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai status Ka Chuan yang dikatakan telah menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai menteri kepada Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat.

Ka Chuan dikatakan menyerahkan "surat peletakan jawatan tanpa tarikh" ekoran kekalahannya dalam pemilihan parti pada 18 Oktober lepas.

Ditanya sama ada Tee Keat ada berbincang dengan Abdullah berhubung perkara itu, beliau berkata: "Tak Cakap."

"Tadi mesyuarat bukan boleh cakap pasal lain," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain