suria

Ka Chuan Jawatan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan hak parti

PETALING JAYA: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata terpulang kepada Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat untuk menentukan kedudukannya.

Sambil menegaskan orang lain tidak perlu membuat ulasan mengenainya, beliau berkata jawatan Kabinet yang disandangnya adalah jawatan yang diperuntukan kepada MCA dan dengan itu Presiden MCA berhak menentukan siapa yang layak mengisi jawatan berkenaan.

Ong, yang telah berjumpa Tee Keat semalam, berkata bahawa sebarang keputusan mengenai jawatan itu adalah tanggungjawab Presiden MCA.

"Orang lain termasuk saya tidak perlu komen kerana boleh menimbulkan kekeliruan untuk beliau membuat keputusan," katanya selepas merasmikan Educare 2008 dekat sini, hari ini.

"Jika beliau (Tee Keat) kata saya teruskan (tugas), saya akan teruskan, kalau ada calon yang akan menggantikan saya, saya akan beri kerjasama seratus peratus," jelas beliau.

Isu perletakkan jawatannya timbul apabila beliau kalah kepada Datuk Seri Dr Chua Soi Lek bagi merebut jawatan Timbalan Presiden MCA pada pemilihan parti itu bulan lepas. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain