suria

Subramaniam MIC mahu 7 peratus kaum India dalam sektor perkhidmatan awam

PUTRAJAYA: Kabinet telah memberi jaminan bahawa lebih ramai kaum India akan diambil bekerja dalam sektor perkhidmatan awam tidak lama lagi, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam hari ini.

Katanya Kabinet dan kerajaan komited dalam memastikan lebih ramai pemohon dari kaum India ditawarkan kerja berdasarkan skop kerja dan merit.

"MIC meminta Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) supaya memastikan pengambilan minima tujuh peratus kaum India bagi semua kategori kerja dalam perkhidmatan awam," kata Dr Subramaniam, yang juga Setiausaha Agung MIC, dalam kenyataan di sini hari ini.

"Kami (MIC) telah membuat banyak permintaan kepada kerajaan pada banyak forum mengenai keperluan meningkatkan pengambilan kaum India dalam sektor perkhidmatan awam.

"Pada mesyuarat mingguan Kabinet hari ini, saya telah mengulangi permintaan kami untuk melihat lebih ramai kaum India diambil oleh SPA dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk berkhidmat dengan kerajaan," katanya.

Katanya MIC akan memantau pengambilan kaum India dalam perkhidmatan awam dari masa ke semasa bagi memastikan sasaran tujuh peratus itu dapat dicapai. BERNAMA

Artikel Sebelum

Umat Islam dilarang sertai yoga

Artikel Lain