suria

Papan iklan Ahli Majlis MBPJ buat laporan BPR

SHAH ALAM: Seorang Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) hari ini membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) Selangor supaya menyiasat kemungkinan berlakunya pemberian dan penerimaan rasuah di dalam urusan yang melibatkan papan iklan di kawasan bandar raya itu.

Tiew Way Keng membuat laporan itu di Pejabat BPR Selangor pada 9.45 pagi ini di Plaza Masalam di sini.

Beliau turut menyerahkan sekeping DVD rakaman sesi pendengaran awam MBPJ yang pertama Jumaat lepas, yang dihadiri oleh pegawai MBPJ, ahli-ahli majlis, para wartawan dan wakil penduduk Petaling Jaya bagi membincangkan polisi baru kerajaan negeri mengenai papan iklan yang telah diluluskan oleh Exco Kerajaan Negeri pada 25 Julai lepas.

Turut diserahkan ialah laporan akhbar The Sun keluaran 18 November yang ditulis oleh kolumnis akhbar itu, Terence Fernandez yang turut hadir pada sesi berkenaan dan melaporkan apa yang berlaku di dalam kolumnya "Down2Earth".

Fernandez menulis: "Ini kali pertama seseorang itu mengaku di depan kamera telah memberi rasuah kepada pegawai majlis supaya dia dapat mendirikan papan iklan."

Tiew berkata beliau turut menghadiri sesi itu dan sudi menawarkan diri sebagai saksi bagi kes berkenaan.

Katanya BPR yang telah menerima laporan itu akan bermesyuarat mengenainya sebelum menghubungi beliau dalam masa seminggu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Umat Islam dilarang sertai yoga

Artikel Lain