suria

Majlis Agama Islam mahu kes penggunaan perkataan Allah rujuk Mahkamah Persekutuan

KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam beberapa negeri mahu pertikaian tentang penggunaan perkataan 'Allah' oleh pihak tertentu dirujuk ke Mahkamah Persekutuan bagi menentukan kedudukannya di sisi Perlembagaan Persekutuan.

Berikutan keputusan itu, lapan pencelah meminta Mahkamah Tinggi di sini mengeluarkan perintah penangguhan prosiding semakan semula kehakiman yang dimohon oleh ketua biskop Kuala Lumpur untuk mencabar keputusan Kementerian Dalam Negeri melarang penggunaan perkataan itu dalam The Herald, sebuah penerbitan mingguan Katolik.

Majlis Agama Islam berkenaan ialah Majlis Agama Islam Terengganu, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Pulau Pinang, Majlis Agama Islam Selangor, Majlis Agama Islam Kedah, Majlis Agama Islam Johor dan Majlis Agama Islam Melaka serta Pertubuhan Cina Islam Malaysia (MACMA).

Peguam Mubashir Mansor, yang mewakili Majlis Agama Islam Terengganu, Pulau Pinang dan Melaka, memberitahu mahkamah bahawa pencelah berkenaan bercadang memfailkan permohonan kepada Mahkamah Persekutuan bagi menentukan kedudukan kes itu di sisi Perlembagaan.

Beliau berkata, mengikut Seksyen 64 Akta Mahkamah Keadilan 1964, mahkamah dikehendaki menangguhkan prosiding itu bagi membolehkan pihak terbabit membawa perkara berkenaan untuk diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Peguam Haniff Khatri Abdullah, yang mewakili Majlis Agama Islam Selangor, Kedah, Johor dan MACMA serta peguam Sulaiman Abdullah, yang mewakili Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAWIP), menyokong permohonan itu.

Hakim Lau Bee Lan kemudian memerintahkan Mubashir mengemukakan permohonan mengenai penangguhan itu secara bertulis, sebelum beliau memberi penghakiman sama ada meluluskan permohonan itu atau sebaliknya.

Tujuh Majlis Agama Islam itu dan MACMA hari ini mendapat kebenaran Lau untuk campur tangan dan dinamakan sebagai responden dalam prosiding semakan semula penghakiman berkenaan.

Mahkamah mengeluarkan perintah itu hari ini selepas mendengar hujah pihak yang ingin campur tangan dalam semakan semula penghakiman kes berkenaan.

Sementara itu, Majlis Gurdwaras Malaysia (MGC), melalui peguamnya Jagjit Singh, memaklumkan kepada mahkamah bahawa ia ingin mengemukakan satu representasi kepada Pejabat Peguam Negara agar isu itu tidak dijadikan bahan konfrontasi.

Jagjit berkata isu terbabit (penggunaan perkataan 'Allah') telah timbul di Perak 10 tahun lepas (pada 1988), tetapi Perdana Menteri ketika itu Tun Dr. Mahathir Mohamad menasihati pihak berkenaan supaya tidak meneruskan kes itu.

Beliau menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menimbang untuk menggunakan pendekatan serupa.

Jagjit kemudian meminta mahkamah menangguhkan pendengaran pemohonan MGC untuk campur tangan.

Lau menetapkan 27 Feb tahun depan sebagai tarikh sebutan kes itu bagi membolehkan pihak terbabit memfailkan afidavit yang diperlukan dalam urusan semakan semula kehakiman.

Ketua biskop Datuk Murphy Pakiam, yang juga penerbit The Herald, menamakan Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden dalam tindakannya dan memperoleh kebenaran untuk mendapatkan semakan semula kehakiman daripada Mahkamah Tinggi pada 5 Mei.

Permohonan Majlis Agama Islam Selangor disokong oleh afidavit yang disahkan oleh setiausahanya Datuk Mohammed Khusrin Munawi, manakala permohonan Majlis Agama Islam Kedah disokong oleh afidavit yang disahkan setiausahanya Datuk Kharudin Zain.

Mereka berkata sebagai badan berkanun yang ditubuhkan bagi menjaga kepentingan umat Islam di Selangor dan Kedah khususnya dan di Malaysia amnya, mereka merupakan pihak yang berkepentingan dalam prosiding itu kerana "The Herald" juga diedarkan di Selangor dan Kedah.

Peguam Porres P. Royan mewakili Pakiam, manakala Peguam Kanan Persekutuan Nizam Zakaria mewakili Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia. BERNAMA

Artikel Sebelum

Umat Islam dilarang sertai yoga

Artikel Lain